Berita Harian

Lelaki bantu tukar tayar maut dirempuh

Niat baik penunggang motosikal bertukar tragedi dalam kejadian di MRR2

- Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Niat baik seorang penunggang motosikal membantu menukar tayar kenderaan yang pancit, bertukar tragedi apabila maut dirempuh sebuah pacuan empat roda, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Sungai Besi berhampira­n apartmen Desa Tun Razak, R Perumal Siva Nesan, 41, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata rempuhan menyebabka­n mangsa tercampak hampir 20 meter.

Katanya, terdahulu mangsa dan rakannya, G Gapalan, yang membonceng motosikal itu, berhenti di tepi jalan bagi membantu pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser untuk menukar tayar.

Cuba kawal lalu lintas

Mangsa dikatakan berdiri di garisan putus-putus antara lorong kanan dengan lorong tengah jalan tiga lorong itu, bertujuan mengawal lalu lintas sementara rakannya membantu pemandu terbabit.

“Bagaimanap­un, mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah pacuan empat roda.

“Siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda berkenaan tidak menyedari mangsa dan menyangka melanggar besi pembahagi jalan. Siasatan juga mendapati mangsa tidak mengambil langkah keselamata­n ketika mengawal lalu lintas,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ??  ?? Lokasi kejadian mangsa maut dirempuh pacuan empat roda di MRR2 menghala Sungai Besi, kelmarin.
Lokasi kejadian mangsa maut dirempuh pacuan empat roda di MRR2 menghala Sungai Besi, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia