Berita Harian

Orang muda perlu lebih kuat, amanah

-

Cabaran pada akhir zaman ini sifatnya luar biasa, maka jika dihadapi dengan pendekatan ‘biasa-biasa’ sahaja, umat Islam akan kalah kerana sesuatu yang luar biasa hendaklah dihadapi dengan yang luar biasa juga.

Itulah pandangan pendakwah terkenal yang juga pensyarah Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau, Ustaz Abdul Somad, yang dikongsiny­a pada Tabligh Akbar Persiapan Umat dan Generasi Muda Islam dalam Mendepani Cabaran Akhir Zaman.

Justeru, katanya umat Islam perlu berpegang kepada sabda Nabi Muhammad SAW bahawa orang yang boleh menolong agama Allah SWT adalah mereka yang amanah, manakala golongan paling mulia adalah mereka yang ikhlas.

“Jangan sangka ulama lebih dahulu masuk syurga daripada kita kerana ada tujuh golongan yang akan mendapat naungan daripada Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan, satu daripadany­a ialah pemimpin yang adil.

“Siapakah pemimpin yang adil itu? Mereka adalah pemuda hari ini yang akan menjadi pemimpin masa depan dan menolong agama Allah SWT. Mereka ini yang ingin dirosakkan oleh musuh Islam,” katanya.

Guna serangan secara halus

Ceramah anjuran bersama Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diadakan di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Abdul Somad berkata, jika dahulu umat Islam boleh memenangi Perang Salib dengan berbekalka­n senjata, tetapi kini tidak lagi kerana musuh menggunaka­n serangan secara halus.

Beliau berkata, musuh sekarang memakai pakaian sama, bicara serupa, malah warna kulit tidak jauh bezanya, tetapi yang memisahkan ialah pemikiran mereka bukan apa terkandung dalam pemikiran kita.

“Apabila tiba urusan agama, dikatakan itu antara kita dengan Tuhan. Tidak perlu uruskan orang lain, maka dengan secara sengaja meninggalk­an ayat kamu umat terbaik yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkara­n,” katanya.

Beliau berkata, walaupun zaman berganti dan musim berubah, isi dunia tetap sama kerana apabila ada Musa akan ada Firaun, ada Ibrahim begitu juga Namrud dan ada Nabi Muhammad SAW, maka ada juga Abu Jahal serta Abu Lahab.

Bagaimanap­un, Allah SWT memberi banyak jalan kebenaran yang tujuannya satu, iaitu untuk menegakkan agama Allah SWT yang sepatutnya direbut oleh pemuda masa kini kerana jika terlepas, peluang itu tidak akan kembali.

Oleh itu, melentur buluh hendaklah daripada rebungnya kerana jika sudah keras, buluh akan patah.

Jangan ambil mudah masa muda

Jangan diambil mudah masa muda yang bakal ditanya oleh Allah SWT, ke mana dan bagaimana ia dihabiskan.

Abdul Somad berkata, hawa nafsu anak muda yang bergelora sepatutnya dihalakan dan dibimbing ke arah kebenaran untuk berjihad di jalan Allah SWT seperti yang terjadi kepada pemuda al-kahfi yang ditambah iman serta hidayah kepada mereka.

Katanya, usaha keras perlu dilakukan untuk mendidik generasi muda hari ini supaya menjadi kuat dan amanah dengan mengajak mereka kembali kepada al-quran serta sunah Rasulullah SAW.

“Jadi, ajarkan pemuda kita supaya menjadi kuat dan amanah kerana ada yang kuat tetapi tidak amanah.

“Jangan yang amanah tetapi tidak ada kekuatan, lagi parah sudahlah lemah, pengkhiana­t pula. Perlu kerja keras, jika tidak kita akan kalah,” katanya.

Musuh sekarang memakai pakaian sama, bicara serupa, malah warna kulit tidak jauh bezanya, tetapi yang memisahkan ialah pemikiran mereka bukan apa terkandung dalam pemikiran kita”

 ?? [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] ?? Abdul Somad berkongsi pandangan pada Tabligh Akbar Persiapan Umat dan Generasi Muda
Islam dalam Mendepani Cabaran Akhir Zaman di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
[FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] Abdul Somad berkongsi pandangan pada Tabligh Akbar Persiapan Umat dan Generasi Muda Islam dalam Mendepani Cabaran Akhir Zaman di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia