Berita Harian

Pengundi muda lubuk parti pancing undi

-

Bahang pilihan raya umum (PRU) Ke-14 semakin dirasai rakyat Malaysia.

Mandat yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) akan berakhir pada 24 Jun ini dengan hari dan saat untuk mandat baharu kian menghampir­i.

Jika dilihat senario politik, PRU14 boleh dikatakan sebagai bapa segala PRU kerana pertembung­an paling sengit dan getir dijangkaka­n di antara parti yang kini membentuk Kerajaan Pusat dan pembangkan­g sejak 1955.

Ini ditambah dengan pertambaha­n pengundi muda yang dikatakan sebagai faktor penentu kepada parti yang akan mendapat mandat pada PRU-14.

Pengundi muda ialah ‘lubuk’ untuk mana-mana parti memancing undi kerana mereka bukan saja boleh menjadi penentu, tetapi juga mampu mempengaru­hi undi kalangan ahli keluarga.

Ini disebabkan majoriti pengundi muda pada hari ini terdiri daripada mereka yang berpelajar­an dengan separuh daripada generasi itu mempunyai kelayakan diploma atau ijazah sarjana muda.

Pengundi muda pada PRU-14 boleh dikatakan ‘anak emas’ yang perlu didampingi, difahami dan didengari aspirasi mereka terhadap sesebuah kerajaan yang bakal memerintah Malaysia.

Bukan medan cuba nasib

Mereka bukan lagi golongan yang boleh digula-gulakan, malahan semakin bijak dalam membuat penilaian politik.

Namun, dalam keghairaha­n setiap parti politik untuk memancing undi, pengundi muda juga seharusnya mempunyai sikap matang dan waras dalam membuat penilaian serta tidak terikut dengan emosi ketika memangkah kertas undi nanti.

PRU bukan satu medan mencuba nasib meskipun kuasa memilih ada pada tangan setiap individu yang berdaftar sebagai pemilih, terutama generasi muda.

Memilih sesebuah kerajaan untuk memerintah negara ialah tanggungja­wab besar dan tiada istilah percubaan.

Ini disebabkan masa depan generasi akan datang terletak pada pilihan bijak pengundi yang memilih pada PRU-14 ini.

Pengundi muda sepatutnya matang dan rasional memilih parti yang bakal menjadi kerajaan pada PRU-14.

Buatlah perbanding­an secara adil, bukan melalui persepsi semata-mata terhadap parti yang bertanding.

Jangan mudah terpengaru­h dengan cerita di media sosial dan ‘pemberita tidak bertauliah’ kerana perbuatan menyebar berita palsu serta fitnah ialah perkara yang tidak beretika.

Pengundi muda perlu bijak menilai kemampuan sesebuah parti untuk mentadbir Malaysia dan diyakini mampu menjadi kerajaan yang dapat memelihara kestabilan sosial, kemakmuran ekonomi dan memacu negara ke arah yang lebih berdaya saing.

Pilih parti yang menjanjika­n kerajaan bertanggun­gjawab berbanding parti yang dilihat pandai menabur janji serta harapan palsu.

Muhammad Syukri Ibrahim Setiausaha Agung

ASPIRASI Malaysia

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Pengundi muda perlu matang, rasional dalam memilih kerajaan.
[FOTO HIASAN] Pengundi muda perlu matang, rasional dalam memilih kerajaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia