Berita Harian

Trump ikrar undur dari Syria ‘tidak lama lagi’

Lebih 30,000 tinggalkan Timur Ghouta sejak seminggu lalu

-

Presiden Donald Trump, semalam menegaskan, tentera Amerika Syarikat (AS) akan berundur dari Syria ‘tidak lama lagi’ dan merungut apa yang dikatakan pembaziran sebanyak AS$7 trilion (RM27 trilion) dalam perang di Asia Barat.

Dalam ucapan kepada pekerja perindustr­ian di Ohio, Trump berkata, tentera AS hampir menawan semula semua wilayah yang pernah dikuasai militan Daesh.

“Kita akan berundur dari Syria, tidak lama lagi. Biarkan orang lain mengambil alih tugas itu,” katanya disambut tepukan gemuruh.

Trump tidak menyebut pihak lain yang mungkin mengambil kedudukan AS di Syria tetapi Russia dan Iran memiliki ramai anggota tentera di negara itu untuk menyokong rejim Presiden Bashar al-assad.

“Tidak lama lagi, tidak lama lagi kita akan berundur. Kita sudah memiliki 100 peratus kerajaan khalifah itu, seperti yang mereka gelar, kadang-kala dirujuk sebagai ‘tanah’, memperoleh semuanya dengan kadar segera.

“Tetapi kita akan berundur dengan segera. Pulang ke tanah air sendiri,” katanya.

Jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert, kemudian ditanya ketika taklimat jika tahu mengenai sebarang keputusan AS untuk berundur dari Syria.

Beliau membalas: “Saya tidak tahu. Tidak.”

AS memiliki lebih 2,000 anggota tentera di timur Syria, bekerjasam­a dengan kumpulan militia tempatan menewaskan Daesh sambil cuba tidak terbabit dalam perang saudara di negara itu.

Kesungguha­n Trump untuk segera keluar daripada konflik di negara itu bertentang­an dengan strategi baharu AS di Syria, diumumkan Januari lalu oleh Setiausaha Negara ketika itu, Rex Tillerson, yang sudah dipecat.

Tillerson bertegas, tentera AS perlu kekal terbabit di Syria untuk menghalang Daesh dan al-qaeda daripada kembali dan menafikan peluang Iran mengukuhka­n kedudukan di Syria.

Layanan buruk rakyat Syria

Dalam satu ucapan di Universiti Stanford, Tillerson juga memberi amaran, pengundura­n sepenuhnya tentera AS pada masa ini akan mengembali­kan kekuasaan Assad dan meneruskan layanan buruknya ke atas rakyat Syria.

Namun Tillerson dipecat menerusi Twitter. Sementara Trump, yang semakin kerap membuat pengumuman dasar luar tanpa mendapatka­n nasihat pegawai tentera atau diplomat AS, mahu segera berundur.

“Kita membelanja­kan AS$7 trilion di Asia Barat. Apa yang kita dapat daripadany­a? Tiada,” kata Trump, berjanji memberi tumpuan peruntukka­n kepada penyediaan peluang kerja dan infrastruk­tur di AS.

Dalam pada itu di Damsyik, pemberonta­k Syria dan orang awam menaiki bas meninggalk­an Timur Ghouta semalam ketika angka perpindaha­n selama seminggu itu melebihi 30,000 orang, kata media tempatan.

Menurut agensi SANA, 31,890 orang keluar dari kawasan Ghouta dikawal pemberonta­k Faylaq al-rahman di Harasta. Perpindaha­n di kawasan selatan bermula 24 Mac lalu susulan perjanjian dibantu Russia.

Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), lebih banyak bas berada di selatan Timur Ghouta untuk membawa penduduk keluar masuk hari ketujuh berturut-turut.

Agensi berita tempatan berkata, secara keseluruha­n 135,000 orang meninggalk­an Ghouta sejak sebulan lalu termasuk yang menggunaka­n koridor kemanusiaa­n diumumkan Russia ke wilayah barat laut di Idlib.

 ?? [ FOTO EPA ] ?? Kanak-kanak berjalan dia antara runtuhan bangunan di Harasta di Timur Ghouta yang kini bebas daripada cengkaman pemberonta­k.
[ FOTO EPA ] Kanak-kanak berjalan dia antara runtuhan bangunan di Harasta di Timur Ghouta yang kini bebas daripada cengkaman pemberonta­k.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia