Berita Harian

Australia, Britain jadi halangan pelumba para

- Oleh Haika Khazi

Kuala Lumpur: Pelumba Australia dan Britain dijangka menjadi penghalang utama kepada atlet para negara meraih pingat pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast pada minggu depan.

Muhammad Afiq Afify Rizan dan jurumudi, Muhammad Khairul Adha Rasol bakal berentap dalam acara pecut 200m dan ujian masa 1 kilometer (km) tandem pada temasya berkenaan.

Ketika ini, mereka berada di tangga ke-5 ranking Kesatuan Berbasikal Antarabang­sa (UCI) selepas mendapat tempat kelima acara 200m dan kelapan ujian masa 1km pada Kejohanan Basikal Trek Para Dunia di Brazil, minggu lalu.

Pelumba Britain, Neil Fachie dan jurumudi, Matthew Rotherham adalah pemenang emas untuk acara pecut 200m dan ujian masa 1km pada kejohanan itu manakala wakil tuan rumah, Brad Henderson dan Thomas Clarke meraih gangsa.

Pecah rekod Asia 1km

Satu lagi gandingan Britain iaitu James Ball dan Peter Michell memenangi perak bagi acara ini.

Jurulatih basikal para negara, Sallehudin Mohd Noh berkata, Afiq Afify dan Khairul Adha masih memiliki peluang untuk meraih pingat menerusi usaha keras sepanjang saingan.

Selain itu, katanya, faktor kewujudan pasukan England, Wales dan Scotland dijangka juga membantu berikutan semua atlet berkenaan tidak lagi bertanding atas nama pasukan Britain pada temasya nanti.

“Jadi saingan utama Afiq Afify dan Khairul Adha mungkin adalah daripada pelumba tuan rumah yang sudah pasti mahu menang emas di hadapan penonton sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada 26 Mac lalu, media melaporkan Afiq Afify dan Khairul Adha berjaya memecahkan rekod Asia acara 1km ujian masa (TT) pada Kejohanan Basikal Trek Para Dunia 2018 di Rio de Janeiro.

Mereka mencatat masa 1 minit 4.192 saat (s) untuk memadamkan rekod 1.04.266s yang dicipta gandingan Jepun, Tatsuyuki Oshiroyasu­fumi Ito pada Sukan Paralimpik London 2012.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia