Lawatan ke GRI beri perspektif luas pengedar PROTON
Seramai 33 pengedar tempatan PROTON Holdings Bhd (PROTON) dibawa melawat ke Institusi Penyelidikan Geely (GRI) di Hangzhou Bay, China baru-baru ini.
Syarikat automotif itu dalam satu kenyataan semalam berkata, tujuan lawatan itu adalah untuk berkongsi pelan masa depan dengan memperkenalkan kepada pengedar kemajuan dan perkembangan teknologi yang diguna pakai di Geely.
Katanya, lawatan itu juga memberikan perspektif luas kepada pengedar mengenai keupayaan Geely dengan mempamerkan model yang bakal dikeluarkan mereka bagi membantu meningkatkan keyakinan terhadap masa depan PROTON.
“Pengedar dibawa melawat ke pusat pameran INTEC. Secara ringkasnya, Geely INTEC mewakili teknologi ‘IN’ yang merangkumi Intelligence (pintar), Intrend (mengikut gaya terkini) dan Intergration (integrasi) serta meliputi 5 komponen iaitu G-power, G-safety, G-blue, G-netlink dan G-pilot.
“G-power pada asasnya meliputi pembangunan rangkaian kuasa serta enjin. G-safety memfokuskan kepada peningkatan keselamatan pada enam tahap iaitu; keselamatan pemanduan, sistem bantuan pemandu, maklumat bantuan dan amaran keselamatan, sistem keselamatan aktif, keselamatan perlanggaran, penggera dan penyelamat kemalangan.
“Gblue pula merangkumi teknologi kereta ringan, pengurangan penggunaan bahan api dan pemancaran serta pembangunan kereta tenaga baharu seperti Kenderaan Elektrik (EV), Kenderaan Hibrid Plug-in (PHEV) dan Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV),” katanya.
Mengulas lanjut PROTON berkata, Geely turut membawa delegasi PROTON ke pusat pengujian rangkaian kuasa, Pusat Ujian Kenderaan dan Kilang Rintis.
Teknologi dibangunkan
“Secara keseluruhannya, lawatan ini berjaya mencapai matlamatnya kerana pengedar berpeluang menyaksikan sendiri teknologi maju yang sedang dibangunkan di GRI yang mana bakal digunakan pada model PROTON akan datang,” katanya.
Sementara itu, seorang daripada pengedar, Nur Shazzani Ahmad Shukri dari Pengangkutan Sedar Sdn Bhd berpendapat, Geely adalah rakan niaga paling sesuai untuk PROTON.
Ini kerana katanya, dari segi perspektif perniagaan, ia adalah satu kelebihan kerana perkongsian ini dapat memberikan pengedar akses kepada pengeluar kereta yang lebih besar dengan kemudahan bertaraf dunia dan berteknologi canggih.
“Saya sangat yakin dengan kereta yang bakal dikeluarkan oleh PROTON melalui rakan niaga bersama Geely selepas melihat sendiri pembangunan di GRI,” katanya.