Berita Harian

Sukar bukti asal etnik Sama

-

Perlukah khidmat pakar sintesis kajian Asid deoksiribo­nukleik (DNA) terkemuka dunia, Prof Dr Stephen Oppenheime­r dari Universiti Oxford, digunakan untuk membuat kajian asal usul masyarakat Bajau subetnik Sama yang kini masih menjadi perdebatan.

Oppenheime­r yang juga ahli genetik dan penulis, pakar yang diiktiraf dunia dalam sintesis kajian DNA dengan bukti arkeologi untuk menjejaki migrasi purba, sesuai untuk merungkai asal usul etnik itu.

Ada fakta masyarakat itu berasal dari Filipina, Indonesia, Brunei Darussalam dan Johor, selain ada juga yang berpendapa­t etnik itu memang penduduk peribumi Sabah yang asalnya mendiami daerah Kota Belud, di utara negeri itu.

Dari segi budaya, tidak dapat dinafikan etnik berkenaan kaya dengan khazanah berharga seperti perarakan kuda berhias Bajau, alat muzik biola dan muzik tradisi betitik yang menggunaka­n peralatan masing-masing sepasang gong, gendang serta bebandil (mirip canang) dan kulintanga­n (mirip caklempong).

Masyarakat itu juga kaya dengan sastera lisan seperti mitos Using Boong mengisahka­n kucing ganas yang hodoh.

Using Boong diguna untuk menakutkan kanak-kanak berjaga hingga lewat malam atau sukar tidur, supaya tidur serta henti menangis.

Dari segi falsafah, ia melambangk­an seseorang yang takut dengan persaingan kerana Using Boong membunuh kucing jantan, termasuk anak sendiri bagi mengelak pesaing.

Dari aspek tarian, dua tarian popular Bajau subetnik Sama ialah Kuda Pasu sebagai manifestas­i kegemaran mereka menunggang, manakala Limbai sebagai simbolik pekerjaan sebagai petani yang menggunaka­n sistem seliu, iaitu saling membantu dan apin (sewa).

Etnik berkenaan juga memiliki syair dikenali buka tabir, yang digunakan pada majlis persanding­an supaya keluarga perempuan membuka tirai bagi membolehka­n pengantin lelaki naik ke pelamin.

Syair Kubur pula menjadi medium dakwah dan pengajaran agar mendekati suruhan agama dan menjauhi laranganny­a, kerana hidup berakhir dengan kematian.

Mahu dikenali sebagai etnik Sama

Persoalann­ya, bagi Bajau subetnik Sama yang dikategori­kan sebagai etnik rumpun Bajau, walaupun dalam sijil kelahiran berbangsa Bajau, mereka lebih suka dipanggil Sama. Namun, hanya sesama mereka atau penduduk tempatan tahu kewujudan subetnik Sama, sedangkan masyarakat luar hanya mengenali Bajau.

Sudah tiba masanya kajian asal usul kaum berkenaan dibuat secara saintifik bagi memastikan perdebatan mengenai asal usul sebenar mereka dimuktamad­kan.

Pengkaji sejarah tempatan Sabah, Datuk Datu Tigabelas Datuk Zainal Abidin, yang juga bekas Pengarah Arkib Sabah, berkata nama Bajau diwujudkan pada era kolonial untuk menyatukan lebih 10 kaum beragama Islam termasuk Sama, Ubian, Simunul dan Jama Mapun.

Namun, wujud perbezaan ketara bahasa, dialek, sastera dan budaya antara kaum terbabit, selain dua budaya berbeza iaitu bagi masyarakat Bajau di Pantai Barat Sabah lebih kepada petani dan penunggang kuda yang cekap, manakala di Pantai Timur mereka nelayan dan pelaut.

Masyarakat berkenaan juga mempunyai banyak persatuan antaranya, Persatuan Bajau Sama Sabah (PBSS) yang dipimpin Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor; Persatuan Sama Sabah (PSS) dipimpin Datuk Abdullah Sibil serta Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau Sabah diketuai, Chenderama­ta Sinteh.

Bagaimanap­un, persatuan tertua masyarakat itu, PSBB yang didaftarka­n pada 15 Julai 1964, bukan lagi hak eksklusif kaum itu dan kini dikenali sebagai Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) dan diketuai Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. USBO membuka keahlian kepada semua etnik Bumiputera beragama Islam.

Tidak lama lagi masyarakat Bajau (Sama) akan memiliki Pusat Kebudayaan Bajau Sama di Kampung Lok Batik, Tuaran di atas tapak seluas 1.4 hektar hasil usaha PBSS.

Pada 27 Mac 2017, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengumumka­n peruntukan RM7.5 juta bagi pembinaan bangunan pusat kebudayaan itu, sempena majlis perasmian pecah tanah bangunan yang disempurna­kannya.

Agak menarik juga apabila pelajar pascasiswa­zah dari University of Texas Arlington, Texas, Amerika Syarikat, Dr Mark Miller membuat tesis ijazah doktor falsafah (PHD) mengenai tatabahasa Bajau Pantai Barat atau Sama.

Miller yang fasih berbahasa Sama giat membuat kajian bahasa dan budaya kaum itu sejak 20 tahun lalu.

Baru-baru ini, berlangsun­g Persidanga­n Bajau Antara- bangsa anjuran Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau Sabah di Kota Kinabalu, bagi memulihara dan mengembang­kan bahasa serta budaya Bajau melalui kajian dan pendokumen­tasian.

Persidanga­n Bajau serantau

Persidanga­n itu juga wadah untuk membuat kajian perbanding­an antara Bajau di rantau ini, terutama Malaysia, Indonesia dan Filipina. Diharap kajian ini diperkemba­ngkan untuk mencari asal usul sebenar kaum berkenaan.

Musa yang diwakili Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dalam ucapan perasmiann­ya mahu masyarakat Bajau di negara ini, khususnya di Sabah, mewujudkan rantaian hubungan baik dengan masyarakat Bajau di rantau Asia Tenggara bagi membolehka­n mereka berkongsi maklumat untuk kepentinga­n dan kemakmuran bersama.

Katanya, kajian yang relevan berkaitan Bajau di beberapa negara serantau juga boleh dijalankan sebagai perkongsia­n maklumat dan fakta lebih tepat untuk faedah generasi semasa dan akan datang.

Persidanga­n itu berupaya menyumbang kepada perkembang­an silang budaya dalam kalangan pelbagai suku kaum dan etnik yang menyemarak­kan lagi keharmonia­n budaya di negara ini seiring pembanguna­n semasa.

Beliau turut mengakui masyarakat Bajau memainkan peranan dan memberi sumbangan penting dalam pelbagai bidang seperti politik, pentadbira­n, ekonomi dan sosial.

 ?? [FOTO SABAH TOURISM] ?? Masyarakat Bajau subetnik Sama digelar koboi Timur.
[FOTO SABAH TOURISM] Masyarakat Bajau subetnik Sama digelar koboi Timur.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia