Berita Harian

‘Usul persempada­nan semula tak perlu jadi isu’

-

Johor Bahru: Usul persempada­nan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat tidak perlu dijadikan isu.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata apa yang wajar menjadi fokus ialah perkhidmat­an kepada rakyat.

Katanya, Barisan Nasional (BN) mempunyai pendekatan yang menjurus kepada usaha memperkasa­kan masyarakat dan tidak membezakan setiap golongan dan latar belakang rakyat.

“Isu persempada­nan semula atau penukaran nama kawasan pilihan raya bukan masalah, contoh kita (Parlimen Johor Bahru), pengundi bertambah, tidak mengapalah, mungkin mereka mahu seimbangka­n.

“Kalau bertambah pun, khidmat kita mesti pada peringkat yang berasaskan falsafah politik. Apa yang mustahak, perkhidmat­an dan cara pendekatan BN lebih kepada memperkasa­kan masyarakat.

“Contohnya, fahami isu masyarakat setinggan dan susun mereka supaya bersatu, ada pengurusan­nya supaya mereka memahami falsafah BN,” katanya.

Nilai sentimenta­l

Beliau ditemui pada program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Johor Bahru di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Stulang di sini, semalam.

Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pertukaran nama Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Puteri ke DUN Larkin hanya membabitka­n nilai sentimenta­l.

Beliau turut membidas dakwaan pembangkan­g yang menyifatka­n persempada­nan semula mempunyai unsur perkauman.

“Dahulu selepas PRU-13, apabila orang cakap berlaku tsunami politik Cina, orang kata rasis. Sekarang mendakwa DAP dapat 80 peratus pengundi Cina, Anwar Ibrahim (Datuk Seri) dapat 50 peratus pengundi Melayu, itu semua tidak rasiskah?

“Kalau tidak mahu timbul isu rasis, jangan sentuh soal Melayu, soal Cina. Kita kena sedar ada perbezaan kaum dan bangsa dalam parti tetapi jangan beza-bezakan.

“Janganlah tuduh-menuduh dalam soal persempada­nan semula ini, kadang-kadang mereka suka bercakap, tetapi tidak sedar apa yang mereka cakap,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia