Berita Harian

Enam individu ditahan, syabu RM10 juta dirampas

STING lakukan 5 serbuan sekitar Lembah Klang, Melaka temui 141.27kg dadah

- Oleh Mohd Hasbi Sidek

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan enam individu dalam lima serbuan di Kajang, Gombak dan Melaka bermula malam Khamis lalu dan merampas dadah jenis syabu dianggarka­n bernilai RM10 juta.

Difahamkan, dadah seberat 141.27 kilogram (kg) dibungkus menggunaka­n paket serbuk teh itu dibawa masuk dari Thailand sebelum diedarkan di pasaran tempatan oleh sindiket terbabit.

Pengarah JSJN, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata serbuan melalui Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang bermula jam 11.20 malam dan berakhir 12.30 tengah malam kelmarin itu, turut mendapat kerjasama JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan Melaka.

Tahan ketua sindiket

“Serbuan pertama di Jalan Bukit Kajang, di sini, menahan seorang lelaki berusia 30-an dipercayai ketua sindiket. Serbuan kedua di sebuah rumah kedai di Jalan Tun Abdul Aziz, dekat sini, menemui 120 bungkus dadah dianggarka­n seberat 127kg.

“Susulan itu, kami melakukan serbuan di sebuah kondominiu­m di Taman Sri Gombak, Gombak dan menahan dua lelaki masing-masing berusia 50-an bersama seorang wanita warga Thailand berusia 30-an. Turut ditemui 11 bungkus dan empat bekas dadah jenis syabu seberat 12.8 kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, di sini, pagi semalam.

Mohmad berkata, pihaknya kemudian membuat serbuan di Bukit Pulau, Melaka, sebelum menahan seorang wanita, selain menemui sepucuk pistol dengan dua kelopak peluru dan 90 peluru.

Rampas dadah 25kg

“Dalam serbuan ini, kami merampas tiga bungkus dadah seberat 25kg. Serbuan kemudian dibuat di Klebang, Melaka dan menahan seorang lelaki berusia 50-an,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman sehingga 5 April untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua daripada suspek mempunyai rekod membabitka­n kes jenayah serta dadah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia