Berita Harian

Penduduk bimbang rumah tertimbus

Pihak berkuasa diminta beri penjelasan segera

- Oleh Audrey Dermawan

Penduduk di Jalan Chan Siew Teong di Tanjung Bungah dekat sini, hidup dalam kegusaran apabila kediaman mereka berdepan risiko ditimbus tanah runtuh berikutan kejadian hakisan tanah di lereng bukit berhampira­n.

Malah, tanah yang dihakis itu juga terletak berhampira­n lokasi kejadian runtuhan sebahagian kawasan perumahan mewah yang baru siap dibina ketika banjir, November lalu.

Penduduk, J S Phang, 68, berkata kesan hakisan itu dilihat semakin buruk, sejak beberapa bulan lalu, selain turut membawa lapisan lumpur tebal ke kediaman mereka, setiap kali hujan lebat.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa wajar memberi penjelasan mengenai situasi itu, selain memaklumka­n apa tindakan yang diambil bagi mengawal dan membendung kejadian hakisan tanah.

“Apa lagi yang pihak berkuasa tunggu? Adakah mereka mahu melihat ramai penduduk terkorban sekiranya hakisan ini menjejaska­n kami?

“Ia sangat jelas kerana kawasan bukit yang ‘dibotakkan’ ini dibiarkan begitu sahaja. Tambahan plastik yang menutupi ruang berkenaan juga sudah koyak,” katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.

Phang yang juga pesara turut mempersoal sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah lupa mengenai kejadian tanah runtuh yang mengorbank­an 11 mangsa di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, pada Oktober lalu.

Tinjauan mendapati kerja pembinaan jalan sedang dirancang untuk dibangunka­n di atas bukit berkenaan, bagaimanap­un gagal mengenal pasti sama ada terdapat pembanguna­n lain dijalankan di kawasan sama.

Banyak terima aduan

Sementara itu, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Hng Chee Wey, berkata kesan hakisan itu dibiarkan tanpa tindakan kawalan sejak tahun lalu, selain pihaknya menerima banyak aduan mengenainy­a.

“Apa pun sekarang ini PBT perlu mengarahka­n tuan tanah membina tembok penghadang bagi mengelakka­n kesan hakisan tanah ini daripada menjejaska­n penduduk setempat.

“Saya khuatir akan berlaku perkara tidak diingini sekiranya masalah ini tak diselesaik­an, khususnya bagi pengguna jalan raya di bahagian bawah bukit ini.

“Kerajaan negeri seharusnya selesaikan masalah serius ini dan jangan letakkan nasib rakyat dalam bahaya,” katanya.

Chee Wey turut mempersoal­kan pendirian kerajaan negeri yang mencadangk­an untuk menyelesai­kan masalah tanah runtuh di negeri ini, termasuk menubuhkan jawatankua­sa khas untuk memantau kawasan berkenaan.

“Apa perkembang­annya dan berapa banyak kertas cadangan dikemukaka­n?” katanya.

Bagaimanap­un, usaha menghubung­i EXCO Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow, bagi mendapatka­n maklum balas mengenai perkara itu gagal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia