Berita Harian

‘Saya cuma nak menang’

Cheng Hoe tak sasar Harimau Malaya pesta gol jumpa Bhutan

- Oleh Zulfaizan Mansor

Tan Cheng Hoe enggan meletakkan sasaran meraih kemenangan besar ke atas Bhutan pada aksi persahabat­an di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini, biarpun lawannya itu hanya dibarisi pemain separuh profesiona­l.

Sebaliknya, pengendali pasukan kebangsaan itu menegaskan beliau lebih fokus untuk menamatkan badi tanpa kemenangan yang masih membelengg­u Pengendali pasukan kebangsaan skuad Harimau Malaya dalam 12 perlawanan terakhir.

Jadi, bekas jurulatih Kedah itu menuntut anak buahnya memberi tumpuan penuh kepada perlawanan selain berwaspada dengan kejutan mungkin dilakukan pasukan di ranking ke-188 dunia itu.

Tak pandang mudah

“Apa yang penting kita harapkan kemenangan. Bukan kemenangan besar kerana setiap perlawanan adalah berbeza. Jadi, saya harap pemain tidak memandang mudah terhadap kemampuan Bhutan.

“Kita dahagakan kemenangan kerana sudah lama kita tidak menang dalam perlawanan di peringkat antarabang­sa. Saya harap pemain boleh teruskan momentum seperti ditunjukka­n ketika berdepan Lubnan tempohari,” kata Cheng Hoe pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, semalam.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan adalah ketika menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF Suzuki di Yangon, 20 November 2016.

Selepas itu, prestasi suram terus membelengg­u pasukan kebangsaan apabila berdepan sembilan kekalahan selain tiga seri termasuk pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 dan persahabat­an antarabang­sa.

Perlawanan berdepan Bhutan yang dianggap sebagai pasukan belasahan dilihat menjadi medan terbaik untuk Malaysia menamatkan badi tanpa kemenangan.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata, beliau tidak akan melakukan banyak pertukaran pemain seperti ketika aksi terakhir kelayakan Piala Asia berdepan Lubnan, Selasa lalu.

“Kemungkina­n saya hanya akan buat dua atau tiga perubahan saja, bukan semua kita tukar. Kita juga akan beri peluang kepada pemain yang belum beraksi pada pertemuan dengan Lubnan tempoh hari,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia