Berita Harian

Tiada alasan kalah lagi: Apek

-

Kelana Jaya: Malaysia tidak mempunyai alasan lagi untuk gagal menamatkan badi tanpa kemenangan dalam 12 perlawanan apabila berdepan pasukan separuh profesiona­l, Bhutan pada aksi persahabat­an di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Apa tidaknya, skuad kendalian Trevor James Morgan dianggap lawan mudah dengan mereka hanya menghuni kedudukan ke-188 dunia - 10 anak tangga di belakang Harimau Malaya.

Malah, Bhutan turut dianggap sebagai pasukan belasahan selepas pernah merekodkan kekalahan besar termasuk tewas 0-10 kepada Palestin dan terbaru dimalukan oleh Maldives 7-0 pada aksi kelayakan Piala Asia, Selasa lalu.

Bagi penjaga gol berpengala­man Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat, kemenangan pada perlawanan hari ini amat penting untuk anak buah Tan Cheng Hoe bangkit daripada rentetan prestasi buruk sebelum ini.

“Seperti yang jurulatih katakan, kami sangat perlukan kemenangan. Jadi kami perlu fokus sepenuhnya. Saya harap perlawanan ini akan menjadi titik permulaan untuk skuad kebangsaan meraih keputusan positif selepas ini.

Perbaiki kelemahan

“Apapun, kami perlu perbaiki segala kelemahan ketika berdepan Lubnan (Selasa lalu). Stadium Nasional Bukit Jalil sememangny­a mempunyai kenangan yang baik buat skuad kebangsaan termasuk ketika menjuarai Piala AFF Suzuki 2010,” katanya yang lebih popular dengan gelaran Apek.

Harimau Malaya melepaskan peluang keemasan menamatkan badi tanpa kemenangan apabila diikat 2-2 oleh pasukan tangga ke189 dunia, Mongolia pada aksi persahabat­an di gelanggang sama, pada 22 Mac lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia