Berita Harian

SK Tungku tubuh muzium mini pamer artifak lama

Koleksi dipamer sebagai tatapan, informasi kepada generasi akan datang

- Oleh Norasikin Daineh

Artifak seperti tempayan, tepak sirih, seterika arang dan mesin taip yang berusia lebih setengah abad adalah antara barangan lama dipamerkan di muzium mini yang baru dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Tungku, di sini, baru-baru ini.

Selain itu, beberapa gambar lama sekolah, piala, medal dan dokumen lama seperti surat lepasan sekolah serta profil pemimpin (Pengerusi Biro Pendidikan Parlimen Silam, Datuk Mohd Basri Abdul Gafar) turut dipamerkan untuk tatapan murid dan penduduk setempat.

Idea sejak dua tahun lalu

Menurut Guru Besar SK Tungku, Abdul Hassim Halddin, idea penubuhan muzium mini itu bermula sejak dua tahun lalu hasil usaha pihak sekolah dan beberapa pihak lain di daerah ini.

“Ia bermula apabila saya fikir stor bekas dapur prasekolah lama di sekolah ini boleh dijadikan aset yang memberi manfaat kepada semua pihak. Lalu saya ambil keputusan untuk berbincang dengan guru di sini supaya ia dapat dijadikan sebuah muzium mini.

“Kami menyimpan pelbagai barang lama yang saya fikir boleh digunakan sebagai tatapan dan informasi kepada generasi akan datang termasuk gambar lama sekolah pada 1970-an dan maklumat sejarah kerana kawasan sekolah ini adalah yang paling lama di Zon Tungku,” katanya, di sini.

Muzium mini itu dibuka secara rasmi pada Majlis Perasmian Mini Muzium dan Pelancaran Modul Panduan Kemahiran dan Teknik Membaca untuk sekolah Tahap 1 dan Tahap 2 SK Tungku, baru-baru ini.

Katanya, pihak sekolah turut mempamerka­n pelbagai bahan berunsur sejarah termasuk maklumat tokoh berjaya yang mendapat pendidikan awal di sekolah itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia