3 beradik rebut kerusi DUN Tambunan
PRU-14 bakal saksikan pertembungan keluarga babit tiga parti berlainan
Saingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan berkemungkinan menyaksikan pertembungan tiga beradik daripada tiga parti berbeza dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pertembungan itu membabitkan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mewakili Barisan Nasional (BN); Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan seorang lagi adik mereka, Crispin Kitingan yang dikhabarkan bakal mewakili Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Pertembungan adik-beradik itu pernah berlaku pada PRU-13 tetapi hanya membabitkan Pairin dan Jeffrey bagi kerusi Parlimen Keningau yang dimenangi Pairin.
Spekulasi pertembungan keluarga itu kembali hangat berikutan kenyataan terbaru Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah serta Presiden PBS yang beliau mungkin kekal bertanding sekiranya dikehendaki pucuk pimpinan dan rakyat, walaupun sebelum ini menyatakan hasrat untuk bersara.
Jeffrey ketika dihubungi, mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Keningau dan DUN Tambunan tidak kira siapa calon yang bakal menjadi lawannya, termasuk abangnya yang mewakili BN.
“Apa yang penting ketika ini adalah perjuangan untuk menuntut hak Sabah. Soal mengenai siapa lawan tidak menjadi masalah.
“Pairin sebelum ini menyatakan mahu bersara, tetapi jika beliau kekal bertanding (DUN Tambunan dan Parlimen Keningau), tidak akan mengubah pendirian saya bertanding di dua kerusi berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Kelmarin, Pairin yang menjadi wakil rakyat sejak 1976 dilaporkan berkata, walaupun keputusan bersara sudah dibuat, beliau tidak menolak kemungkinan untuk terus berkhidmat jika diperlukan.
Pairin berkata, keputusan muktamad sama ada menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi atau meneruskan hasrat persaraan, hanya akan diketahui pada hari penamaan calon, namun setakat ini beliau kekal dengan pendirian bersara.
Sementara itu, Crispin menyatakan secara peribadi beliau tidak berminat menjadi calon, namun bersedia jika itu ‘dimahukan’ oleh pucuk pimpinan WARISAN.
Perjuangan politik demi kepentingan rakyat
“Secara peribadi, saya menghormati dan sayangkan kedua-dua abang saya, namun perjuangan politik bukan untuk keluarga atau individu sebaliknya demi kepentingan rakyat.
“Sekiranya diarah untuk menjadi calon, saya akur kepada keputusan pucuk pimpinan dan sedia menentang kedua-dua abang saya sekiranya mereka turut bertanding di DUN Tambunan,” katanya sambil menambah mereka ‘berlawan’ sesama sendiri bukan secara peribadi, sebaliknya atas dasar perbezaan fahaman politik.
Selain Tambunan iaitu antara tiga DUN di Parlimen Keningau, Pairin dan Jeffrey kemungkinan turut bertembung bagi kerusi Parlimen.
Pada PRU-13, Pairin yang kali pertama bertembung dengan Jeffrey dalam pilihan raya, menang dengan majoriti 4,264 undi dalam saingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Keningau bersama seorang lagi calon daripada PKR.