Calon tidak terpilih kena ikhlas bantu gerak kerja
Wakil parti perlu lipat ganda usaha pastikan menang
Oleh Abd Razak Raaff,
T N Alagesh dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta calon Barisan Nasional (BN) tidak dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diminta ikhlas membentuk gerak kerja calon bertanding, sekali gus menjanjikan kemenangan yang diharapkan.
Pada masa sama, katanya, beliau turut menyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berpesan kepada calon BN yang dipilih menggandakan usaha bagi memastikan kemenangan parti keramat itu.
Ahmad Zahid, berkata bagi mereka yang tidak dipilih pula diminta ikhlas membantu gerak kerja calon yang bertanding, sekali gus menjanjikan kemenangan mutlak kepada BN.
“Pagi tadi (semalam), Perdana Menteri (Najib) berpesan Ahli Parlimen yang terpilih sebagai calon kerja keras dan melipat gandakan usaha, terutama ketika turun berkempen.
“Terus menambah daya usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Bagi yang tidak terpilih pula, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih dan mahu mereka beri sokongan dan bantuan kepada ca- lon baharu yang bertanding di kawasan yang pernah wakili,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di sini, semalam.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Abdul Rahman.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas mengenai pertemuan khas Perdana Menteri dengan Ahli Parlimen BN di Seri Perdana, Putrajaya di sini, semalam.
Mengenai pengumuman Tun Dr Mahathir sebagai calon pembangkang di kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya kali ini, Menteri Dalam Negeri itu berkata, jasa beliau hanya tinggal sejarah kepada penduduk di pulau lagenda.
“Segala kebaikan dilakukannya (kepada penduduk Langkawi) itu sudah dirosakkan oleh beliau sendiri.
“Saya harap orang Langkawi terus memberikan sokongan kepada calon BN untuk terus memajukan kawasan itu pada masa akan datang,” katanya.
Banyak bantuan sudah diberi
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, banyak bantuan dan kemudahan sudah diberi kepada penduduk Langkawi seperti mewujudkan kemudahan bekalan elektrik secara terus dari tanah besar kepada penduduk di Pulau Tuba, bersebelahan Pulau Langkawi yang sebelum ini tidak menikmati kemudahan itu.
Katanya, kemudahan jeti dan infrastruktur pelancongan lain turut dibangunkan kerajaan BN di bawah kepemimpinan Najib yang berterusan memajukan pulau pelancongan itu.
“Jika BN diberikan mandat semula, Langkawi akan terus dibangunkan, tetapi jika Langkawi memilih orang lain (selain BN) dibimbangi ia (pembangunan) sukar dilaksanakan,” katanya.
Ahmad Zahid juga meminta mereka yang dipilih sebagai calon BN di kawasan Parlimen itu sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka menerima siapa sahaja calon yang akan bertanding di situ.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, calon BN, Datuk Ir Nawawi Ahmad menang Parlimen Langkawi dengan majoriti 11,861 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Abdullah dan calon Bebas, Marina Hussein.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, rakyat di bandar dan luar bandar perlu sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada pembangunan yang dirancang kerajaan ke kawasan masingmasing.