Dakwaan negara muflis cubaan kelirukan rakyat
Kuching: Dakwaan kononnya negara bakal bankrap hanya satu cubaan mengelirukan rakyat, selain mahu menarik tumpuan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kedudukan kewangan negara berada pada tahap terbaik, malah mencukupi untuk menampung kos operasi dan pembangunan dirancangkan kerajaan.
Beliau berkata, pencapaian itu disumbangkan oleh kecekapan sistem pengurusan hasil negara, selain konsep perbelanjaan berhemah dilaksanakan kerajaan tanpa mengenepikan kepentingan agenda pembangunan serta pemerkasaan ekonomi dirancangkan.
“Hutang negara ketika ini adalah 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jika kita tengok Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura, hutang mereka lebih 100 peratus tetapi negara itu tidak bankrap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada kira-kira 1,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Penview di De- mak Laut, di sini semalam.
Irwan menjelaskan jika negara bankrap, sudah tentu kerajaan berdepan masalah membangunkan negara, malah tentu sukar untuk membayar gaji penjawat awam di negara ini.
PM umum kenaikan BR1M
Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM2,000 jika Barisan Nasional (BN) memenangi PRU-14.
“Kalau negara bankrap, buat apa Perdana Menteri nak naikkan BR1M jika BN menang,” katanya.
Sementara itu, Irwan berkata, kerajaan juga akan terus mengamalkan langkah konsolidasi fiskal bagi mengurangkan paras defisit secara berperingkat, di mana tahun ini mensasarkan 2.8 peratus berbanding 3 peratus pada tahun lalu.
Malah, katanya, kadar eksport negara juga berkembang 17 peratus pada tahun ini manakala pelaburan asing semakin meningkat di mana tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak RM39.2 bilion.