Ekonomi digital bakal tawar lebih sejuta pekerjaan baharu
Sasaran bukti manifesto BN wujud peluang kerjaya realistik, mampu dicapai
Ekonomi digital bakal menyumbangkan tambahan lebih satu juta peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun.
Angka itu sekali gus membuktikan sasaran manifesto Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi adalah realistik serta mampu dicapai.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood, berkata angka itu dijana berdasarkan simulasi tenaga kerja ekonomi digital menjelang 2025.
Katanya, simulasi itu menunjukkan keperluan kritikal kepada tenaga kerja berkaitan ekonomi digital termasuk programmer, jurutera perisian dan pakar pengekod siber sekuriti yang turut ditakrifkan sebagai tenaga kerja berpendapatan tinggi.
“Soal peluang pekerjaan yang akan diwujudkan ini perlu dilihat dalam skop sektor ekonomi digital yang membuka banyak peluang pekerjaan kerana kita kena memahami dunia mengalami revolusi besar tidak seperti dulu apabila peluang pekerjaan hanya dibuka sekiranya ada kilang.
“Ekonomi digital yang diperjuangkan kerajaan menjadi pemangkin perubahan kepada permintaan tenaga kerja dan peluang pekerjaan.
“Kita mengalami kekurangan tenaga kerja mencecah 10,000 dalam siber sekuriti dan perlukan 20,000 profesional data menjelang 2020, kerana itu kini ada anak muda berumur 25 tahun yang menerima bayaran gaji lima angka kerana mereka sangat bagus sebagai data saintis,” katanya pada satu pertemuan di sini, baru-baru ini.
Rangsang aktiviti ekonomi
Mengulas lanjut, Yasmin, berkata selain membuka peluang pekerjaan baharu dalam industri digital, aktiviti ekonomi negara juga akan dirangsang dengan kewujudan lebih banyak usahawan atau pekerja yang memanfaatkan platform digital untuk perniagaan mereka.
Katanya, kelompok terbabit adalah golongan yang bukan sahaja pekerja digital namun menggunakan platform digital untuk menjual secara e-dagang, perniagaan dalam talian dan pemasaran media sosial.
“Kerajaan bukan hanya melihat kepada angka semata-mata, tetapi strategi kami adalah menyediakan generasi muda yang kalis masa depan, mereka inilah yang mewarisi dan menguasai keusahawanan digital ini.
“Saya ingin tekankan di sini, saya bukan ahli politik sebaliknya saya profesional swasta dalam industri teknologi, maka bagi saya jika kerajaan tidak memberikan penekanan dalam sektor ini dalam tempoh 10 tahun, Malaysia akan mundur kerana dunia kini menuju ke arah digital.
“Kerana itu, kepemimpinan ini perlu diteruskan untuk menjamin kelangsungan pembangunan industri, kerana kita mempertaruhkan masa depan anak muda kita sendiri, ...mereka semua akan terjejas jika tiada penekanan seperti dilakukan Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Ekonomi digital yang diperjuangkan kerajaan menjadi pemangkin perubahan kepada permintaan tenaga kerja dan peluang pekerjaan” Yasmin Mahmood,
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC