Manifesto BN realistik, bertanggungjawab
Memang tiada masalah untuk menabur janji sehingga ke langit, termasuk perancangan atau program yang terlalu hebat, namun persoalannya adakah setiap dijanjikan itu sesuatu yang realistik.
Itu sebabnya manifesto ditawarkan Barisan Nasional (BN) bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’ satu agenda realistik dan mampu dilaksanakan.
Ia bukan angan-angan Mat Jenin, bukan mimpi siang hari dan bukan dirangka untuk menabur janji manis yang indah di atas kertas, tetapi sukar dilaksanakan.
BN tidak mengikut rentak tari pembangkang kerana manifesto gabungan parti berpengalaman itu lebih mementingkan keprihatinan terhadap kemajuan rakyat dan pembangunan lebih seimbang.
Tawaran dan janji yang disenaraikan adalah realistik, munasabah, komprehensif, praktikal serta bertanggungjawab.
Secara umumnya, terdapat 14 teras dalam manifesto berkenaan, iaitu Utama Ibu dan Wanita; Kediaman 1Negaraku; Tiga Juta Kerja; Senyum Sabah dan Sarawak; Pengangkutan Futuristik; Perkasa Digital; Barangan Malaysia; BR1M Lebih Baharu; Dompet Rakyat; Pendidikan Sesuai Masa Depan; Hidup Sihat; Aman 1Negaraku; TN50 dan Penjagaan Kanak-kanak Universal.
Selepas meneliti setiap kandungan dalam manifesto berkenaan, ia ternyata satu dokumen yang menyeluruh dan memberi tumpuan kepada keperluan setiap masyarakat di negara kita.
Janji untuk orang muda
Contoh paling mudah ialah tumpuan kepada generasi muda dengan segala elemen dan faktor berkaitan seperti pekerjaan, ilmu dan kemahiran, gaji dan pendapatan, peluang pekerjaan serta gaya hidup diambil kira dengan begitu teliti sekali.
Nyata sekali manifesto ini memberi tumpuan kepada pembangunan masa depan yang mana generasi muda hari ini bakal menerima ganjarannya.
Seperti manifesto terdahulu, senarai janji dalam dokumen setebal 220 muka surat dan 364 inisiatif itu juga terus meletakkan agenda wanita sebagai salah satu mukadimah utama.
Ia satu pengiktirafan besar kepada wanita yang banyak berjasa kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
Apa yang menarik mengenai Manifesto BN kali ini ialah aku janji khusus untuk setiap negeri, sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam mana-mana manifesto sebelum ini.
Itu sebabnya pengumuman pelbagai projek dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak adalah selaras konsep pembangunan negara yang tidak meminggirkan manamana wilayah di Malaysia. Semua mendapat perhatian khusus dan bakal merasai pembangunan yang lebih moden dan mampan.
Secara tidak langsung ini menggambarkan betapa komited dan prihatinnya Perdana Menteri, Da- tuk Seri Najib Razak terhadap pelbagai keperluan dan keutamaan setiap negeri yang pastinya tidak sama antara satu dengan lain.
Walaupun manifesto ini begitu jelas mengenai hala tuju dan perancangan, ia tidak bermakna jentera BN perlu memeluk tubuh dan membiarkan manifesto menjalankan tugas dengan sendirinya.
Perlu diingatkan juga tidak cukup setakat bersorak dan bertepuk tangan ketika Najib mengumumkan manifesto ini.
Apa yang lebih penting, jentera BN tanpa mengira pada peringkat manapun perlu tahu, mengambil berat serta faham dengan jelas maksud kandungan manifesto itu supaya apa yang ada di dalamnya dapat disampaikan kepada pengundi yang akan membuat pilihan nanti.
Pengundi perlu diberitahu apakah aspirasi utama yang bakal dilaksanakan Kerajaan BN jika diberi mandat dan kuasa untuk terus menerajui pemerintahan negara bagi tempoh lima tahun akan datang. Apa yang pasti, Manifesto BN secara jelas dan nyata mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat.
Ia berteraskan kepercayaan dan keyakinan padu rakyat kepada kerajaan BN yang telah membuktikan dengan cemerlangnya kejayaan menguruskan negara, khasnya dalam pengurusan ekonomi dan pentadbiran Malaysia yang kita cintai.