‘Dr M tak berani kembali ke Kubang Pasu’
Tindakan bekas PM pilih tanding di Parlimen Langkawi dipersoal
Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak bertanding di Parlimen Kubang Pasu, kawasan yang pernah diwakilinya 30 tahun lalu sebelum bersara dipersoalkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, tindakan Dr Mahathir itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pembangkang sehingga bekas Perdana Menteri itu terpaksa bertanding di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah berkata, malah, Dr Mahathir juga seolah-olah tidak menghargai pengundi di Kubang Pasu yang pernah mengangkatnya menjadi pemimpin suatu ketika dahulu apabila membuat keputusan bertanding di Langkawi.
Tindakan jadi tanda tanya
“Walaupun beliau jadi Ahli Parlimen Kubang Pasu begitu lama mengapa tak berani kembali ke kawasan itu? Saya pun tak tahu sebab apa, tetapi sepatutnya kalau dia yakin dan berani, bertandinglah semula di sana.
“Maka tindakan itu menjadi tanda tanya, pasti ada sesuatu yang menyebabkan Dr Mahathir terpaksa bertanding di Langkawi sedangkan selama ini beliau jadi pemimpin disebabkan undi dari Kubang Pasu.
“Sepatutnya beliau kena mengenang jasa pengundi di Kubang Pasu dan teruskan di situ kerana itulah elemen nostalgia yang perlu beliau ambil kira,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Semarak Perpaduan Zon Utara, di sini.
Bukti tak yakin menang
Selain Dr Mahathir yang bertanding di Langkawi, anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bakal bertanding di Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra manakala bekas Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah bertanding di Parlimen Kubang Pasu dan DUN Anak Bukit.
Mengulas mengenai dua pemimpin pembangkang yang masingmasing bertanding di dua kerusi, Ahmad Bashah berkata, ia membuktikan mereka tidak yakin untuk menang di satu kawasan sehingga terpaksa mengambil ‘polisi insurans’.
Malah, katanya Mukhriz sendiri sepatutnya mempertahankan DUN Ayer Hitam kerana sudah memenangi kawasan itu sebelum ini dan bukannya berpindah ke kerusi lain.
“Depa (mereka) ini ingat hebat sangatkah sampai bertanding dua kerusi, bagilah peluang orang lain atau depa ketandusan pemimpin, sepatutnya ambil satu saja kerusi, mungkin depa takut kalah satu, ada satu lagi sebagai ‘insurans’,” katanya.