Bantuan BR1M ringan beban rakyat
Terbukti bantu kumpulan berpendapatan rendah kurangkan tekanan hidup
Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat sejak diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Oktober 2011 dalam Bajet 2012, terbukti membantu kumpulan berpendapatan rendah meringankan tekanan.
Dicadangkan Jawatankuasa Fiskal terdiri daripada jabatan kerajaan termasuk Bank Negara Malaysia, Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Kewangan dan sebagainya, berdasarkan pelaksanaan inisiatif rasionalisasi subsidi yang mengalihkan secara berperingkat pemberian subsidi pukal yang membawa banyak ketirisan kepada subsidi bersasar untuk kelompok yang betul-betul memerlukannya.
Pada masa sama, tekanan ekonomi global dan kelembapan ekonomi dunia mempengaruhi kestabilan ekonomi Malaysia, akibatnya tekanan inflasi semakin kuat serta ekonomi agak tidak stabil.
Justeru, BR1M turut dilihat sebagai bantuan langsung kepada kumpulan sasar yang kurang bernasib baik menerusi kaedah lebih berkesan dan cekap.
BR1M sentiasa diperbaiki
Pada mula diperkenalkan, bantuan BR1M hanya RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000. Setiap tahun selepas itu, BR1M sentiasa diperbaiki hinggalah pada Bajet 2018, nilai bantuan terus ditambah, manakala sasaran penerima diperluaskan.
BR1M memanfaatkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dari seluruh Malaysia. Usaha menangani kos sara hidup rakyat, ternyata mencapai matlamat 100 peratus petunjuk prestasi utama (KPI) secara konsisten menerusi pemberian bantuan berkenaan.
Bagi BR1M 2018, sebanyak 7,084,726 permohonan diluluskan sehingga 31 Mac lalu dan ia membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM6.12 bilion.
Jumlah peruntukan itu merangkumi bantuan RM1,200 kepada 3,705,853 penerima isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah serta bantuan RM900 kepada 324,973 penerima isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000.
Ia juga termasuk bantuan RM450 kepada 3,053,900 penerima individu yang berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.
Kadar BR1M untuk tahun ini sama seperti jumlah ditetapkan tahun lalu, tetapi dalam Manifesto yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 7 April lalu, ada berita gembira untuk rakyat Malaysia.
Bantuan sebanyak RM1,500 untuk anak-anak penerima BR1M yang mendaftar di pusat pengajian tinggi. Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, berjumlah RM300 digandakan kepada RM600, bermakna jumlah keseluruhan meningkat daripada RM900 kepada RM1,500.
Individu atau bujang yang berpendapatan RM2,000 ke bawah yang menerima BR1M sebanyak RM450, ditambah sebanyak RM150 pada Jun, bermakna jumlah keseluruhan adalah RM600.
Selain itu, isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan pula menerima RM700 dengan pembayaran dua kali pada Jun dan Ogos.
Menerusi pemberian BR1M berterusan itu, ia membantu penerimanya menampung kos barangan runcit, bil bulanan dan perbelanjaan sekolah.
Paling penting, bantuan BR1M pemberian telus kerajaan kepada rakyat yang diberikan terus kepada semua yang layak, tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang politik. Malah, mereka yang menerima bantuan kebajikan sedia ada juga diberikan bantuan BR1M.
BR1M juga diterima baik ahli ekonomi, malah pakar ekonomi menyatakan pemberian tunai kepada rakyat memberi kesan baik kepada ekonomi negara.
Tingkat daya beli rakyat
Ini berikutan ia meningkatkan daya beli rakyat, sekali gus menjana ekonomi setempat. Pemberian tunai seumpama itu dilakukan banyak negara, bukan hanya Malaysia. BR1M juga dilihat sebagai satu formula ekonomi untuk menstabilkan tekanan inflasi.
Menurut BNM, BR1M turut menyokong dari segi perbelanjaan dan pertumbuhan berikutan kecenderungan kumpulan berpendapatan rendah untuk berbelanja adalah tinggi.
Pemberian BR1M yang berperanan sebagai bantuan langsung dan bersasar, berupaya menumpukan pertimbangan ekonomi bagi membantu golongan miskin serta memastikan subsidi bersasar itu lebih cekap serta dilaksanakan secara berkesan.
Selain itu, mekanisme pemindahan tunai itu turut dilihat sebagai langkah pertama dan penting ke arah pembaharuan sistem kebajikan dan perlindungan sosial negara yang lebih mendalam.
Bukan sahaja diterima baik dalam negara, bantuan BR1M juga diiktiraf oleh Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).
Malah, BR1M terbukti antara model bantuan terbaik sehingga menjadi ikutan Arab Saudi dan Mesir untuk melaksanakan konsep sama. Ini bermakna apa yang kerajaan buat adalah langkah tepat.