Napsiah meninggal akibat barah hati
Jenazah veteran UMNO dijangka dikebumi di Kuala Pilah hari ini
Veteran UMNO, Tan Sri Napsiah Omar, meninggal dunia jam 6.10 petang semalam di rumah anaknya di Ampang Jaya, Selangor, akibat barah hati.
Ahli keluarga arwah, Datuk Hamid Yahya dalam satu pesanan menerusi aplikasi Whatsapp berkata, jenazah akan dikebumikan di Kuala Pilah tengah hari ini.
“Assalamualaikum, dengan rasa sedih dimaklumkan bahawa Tan Sri Napsiah Omar kembali ke Rahmatullah sebentar tadi (semalam).
“Jenazah dibawa ke Surau Tunku Muhriz Kampung Jawa, Kuala Pilah, dijangka sampai tengah malam ini (tadi), akan disempurnakan dan dikebumikan di Kuala Pilah sebelum solat Zuhur, insya Allah. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT, insya-allah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, mengucapkan takziah dan merancang mengadakan majlis tahlil khusus untuk Allahyarham bersama-sama ahli 191 bahagian Wanita UMNO di seluruh negara.
Katanya, Napsiah yang juga bekas Pengerusi Tetap Wanita UMNO adalah srikandi tulen yang tiada tolok banding dan ikon Wanita UMNO yang amat berpengalaman.
“Perjuangan beliau berdekad lamanya dirasai oleh semua wanita dan negara. Legasi perpaduan yang beliau wariskan menjadi ikatan kekuatan kepada kami 1.4 juta ahli Wanita UMNO,” katanya.
Kehilangan besar kepada negara
Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, berkata pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepada negara sebagai antara tokoh politik wanita dalam pentas UMNO.
Katanya, Allahyarham tegas memperjuangkan ke arah memartabatkan golongan wanita di Malaysia pada era 90-an.
“Napsiah juga adalah salah seorang yang diangkat sebagai Tokoh Melayu Terbilang sempena Sambutan Hari UMNO Ke-71 pada 11 Mei 2017,” katanya.