Pembinaan HSR di Singapura bermula 2019
Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) membuka tender bagi reka bentuk dan pembinaan terowong serta kemudahan berkaitan di bahagian negara itu bagi Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpursingapura, lapor akhbar The Straits Times.
Menurut edisi dalam talian akhbar itu, pembinaan dijangka bermula pada tahun depan.
“Kami membuka tender bagi reka bentuk dan pembinaan terowong berkembar dan kemudahan berkaitan pada 6 April, manakala reka bentuk dan pembinaan terowong tertutup menuju terminal Jurong East pada 11 April,” kata laporan media itu yang memetik seorang jurucakap LTA.
Menurut laporan itu, terowong berkenaan akan dibina menggunakan mesin khas pengorek terowong iaitu kaedah sesuai bagi usaha mengorek bawah tanah yang kurang menjejaskan kemudahan, bangunan dan struktur di bahagian permukaan.
Kurangkan masa perjalanan 90 minit
Secara perbandingannya, terowong termasuk jenis tertutup itu dibina dengan menggunakan struktur sedia ada, manakala kerja pengorekan dijalankan secara berperingkat dan lebih sesuai untuk jarak dekat dan di kawasan terbuka dengan tidak banyak kemudahan, bangunan dan struktur di permukaannya.
Tambahan pula, terowong tertutup juga lebih sesuai bagi struktur bawah tanah lebih besar seperti terowong menuju terminal Jurong East, kata laporan itu.
Menurut LTA, baki tender sivil lainnya akan dibuka pada bulanbulan akan datang dan pembinaannya dijangka bermula pada tahun depan.
“Rancangan untuk memulakan perkhidmatan ekspres Kuala Lumpursingapura menjelang 2026 adalah mengikut jadual,” kata jurucakap itu.
Laluan HSR Kuala Lumpursingapura sejauh 350kilometer itu dijangka dapat mengurangkan tempoh perjalanan antara dua destinasi itu kepada 90 minit.