Seni tenun songket jana pendapatan
Suri rumah ambil peluang kukuh ekonomi sambil tingkat kemahiran berterusan
Bagi menyahut gesaan kerajaan mahu wanita memperkasakan diri dalam bidang ekonomi dan menambah bilangan usahawan, ramai golongan hawa di negeri ini memanfaatkan seni kemahiran tangan bagi tujuan terbabit.
Kediaman pengusaha songket, Zainab Mamat, 76, umpamanya sentiasa sibuk sebagai lokasi 12 suri rumah mencari pendapatan tambahan dan meningkatkan kemahiran menenun songket.
Seawal jam 9 pagi, beberapa wanita di sekitar Kampung Bukit Depu, Jalan Panji Alam, Kuala Terengganu, sudah menunggu di kawasan rumah pengusaha Terengganu Songket ini, sebelum melangkah masuk ke bengkel songket bagi menyiapkan tempahan pelanggan.
Masing-masing tekun dan nampak mahir menggunakan alat tenun dinamakan Kek Tenun kerana sudah berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kraf itu.
Kebanyakan mereka memiliki alat tenun di rumah, tetapi sanggup bekerja di situ bagi mendapat ilmu tambahan daripada Zainab yang dianggap guru hebat dalam industri songket negara.
Harga upah dibayar berdasarkan kepantasan menyiapkan sehelai kain tenunan songket.
Bagaimanapun, upah diterima bukan setiap hari kerana tempoh masa menyiapkan sehelai kain tenun mengikut jenis dan motif yang kadang kala memakan masa selama berbulan lamanya.
Tambah pendapatan keluarga
Atas minat mendalam terhadap seni tenun songket, memantapkan kemahiran seni tenun, selain waktu kerja lebih fleksibel membuatkan kebanyakan suri rumah di sekitar kawasan itu mengambil peluang bekerja di perusahaan itu sejak puluhan tahun lalu.
Penenun songket Terengganu, Norlida Abdullah, 47, antara yang merebut peluang ditawarkan pengusaha untuk menambah pendapatan keluarga.
“Saya sudah bekerja di sini selama 10 tahun. Walaupun cuma kerja sambilan, pendapatan diterima banyak membantu keluarga dan persekolahan anak.
“Bagi sehelai kain tenun yang disiapkan, saya memperoleh pendapatan sekitar RM800,” katanya sempena Publisiti Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Kampungku dan Hari Kraf Kebangsaan, baru-baru ini.
Beliau berkata, pengalaman sepanjang bekerja di situ dimanfaatkan beliau untuk membuka perusahaan sendiri suatu hari nanti.
“Majikan tidak lokek berkongsi ilmu dan kemahiran menenun songket dengan kaedah yang betul.
“Dengan pengalaman yang ada, tidak mustahil suatu hari nanti lebih ramai wanita dalam industri ini dan mencipta nama sebagai usahawan,” katanya.
Suri rumah, Rosmawati Mustafa Al Bakri, 37, berkata pendapatan sebanyak RM900 untuk sehelai songket diterima memang berbaloi, selain masa anjal untuk mengurus anak ke sekolah.
“Jadual kerja sangat membantu saya menambah pendapatan keluarga dan pada masa sama menguruskan anak.
“Jadi, tiada masalah suri rumah membahagikan masa dan memanfaatkan kemahiran mereka,” katanya.
Usahawan muda songket, Faizah Zakaria, 26, berkata beliau sanggup belajar tenunan dengan Tokoh Kraf Negara 2002 itu kerana ia peluang keemasan untuk beliau mendapat ilmu secara percuma.
“Minat saya dalam bidang ini membuatkan saya tidak menghiraukan rakan yang mengejek saya memilih bidang tidak popular dalam kalangan anak muda ini.
“Niat saya cuma menambah kemahiran sedia ada kerana sebelum ini pernah mengambil Diploma Kraftangan Institut Kraf Negara, Rawang.
“Selain menambah pendapatan, saya dapat mempelajari secara praktikal dan memahirkan kemahiran tangan untuk proses menenun secara langsung,” katanya .
Beliau adalah generasi ketiga dalam keluarganya menjadikan tenunan songket sebagai sumber pendapatan.
Saya sudah bekerja di sini selama 10 tahun. Walaupun cuma kerja sambilan, pendapatan diterima banyak membantu keluarga dan persekolahan anak” Norlida Abdullah, Penenun songket Terengganu
Jadual kerja sangat membantu saya menambah pendapatan keluarga dan pada masa sama menguruskan anak. Jadi, tiada masalah suri rumah membahagikan masa” Rosmawati Mustafa Al Bakri, Suri rumah
Minat saya dalam bidang ini membuatkan saya tidak menghiraukan rakan yang mengejek saya memilih bidang tidak popular dalam kalangan anak muda” Faizah Zakaria, Usahawan muda songket