Kaji kaedah solar terapung jana elektrik luar bandar
Kuching: Pemasangan panel solar terapung antara kaedah penjanaan tenaga yang boleh diteliti dalam membantu membekalkan elektrik ke kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kepelbagaian kaedah penjanaan tenaga itu diyakini dapat membantu kerajaan negeri menyediakan bekalan elektrik ke kawasan terbabit, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat pedalaman dan luar bandar.
“Justeru, kita mengalu-alukan sebarang bentuk kajian oleh syarikat asing yang memiliki kepakaran dalam penghasilan panel solar elektrik, untuk mempelbagaikan kaedah tenaga elektrik di negeri ini.
Bekal tenaga
“Ini termasuk pemasangan panel solar terapung (di sungai) kerana percaya ia mampu menjadi alternatif baharu membekalkan tenaga. Kita yakin dengan kepakaran yang ada, tidak mustahil kaedah itu dapat dilaksanakan satu hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan kilang syarikat pengeluar panel solar dari China, LONGI (Kuching) Sdn Bhd, di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, di sini, semalam.
Yang hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Abang Johari yang bertanggungjawab terhadap portfolio pembangunan tenaga negeri ini, berkata Sarawak memerlukan lebih banyak kaedah alternatif untuk mendapatkan tenaga elektrik bagi memastikan semua penempatan penduduk di negeri ini menerima kemudahan itu.
Kuching adalah lokasi pertama kilang bersepadu penghasilan panel solar LONGI di rantau ini, dengan operasinya semakin berkembang sejak bertapak di Sarawak pada 2015.