Berita Harian

Tertipu pakej cuti murah ke Korea Selatan

200 mangsa termasuk pelajar OKU kerugian RM400,000

- Oleh Fazrik Kamarudin

Kira-kira 200 individu, termasuk rombongan pelajar orang kurang upaya (OKU) dari Pulau Pinang, kerugian hampir RM400,000 selepas menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelanconga­n.

Syarikat berkenaan yang dipercayai didalangi seorang lelaki, menggunaka­n akaun Facebook untuk menawarkan pakej percutian pada harga yang murah ke luar negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Vietnam.

Namun, selepas menerima deposit dan bayaran penuh daripada pelanggan, syarikat milik lelaki itu menangguh atau membatalka­n pakej yang dijanjikan dengan pelbagai alasan.

Antara alasan yang diberi termasuk masalah pertukaran mata wang, peningkata­n kos operasi dan tiket yang mahal.

Mangsa penipuan pula mendakwa tertarik dengan harga murah yang ditawarkan, selain akaun Facebook syarikat itu sebelum ini memaparkan lebih 100 komen dan ulasan yang positif.

Guru dari Pulau Pinang, Nur Ain Abdul Rahim, 29, berkata dia yang mewakili tujuh pelajar OKU di bawah kendaliann­ya, tertarik dengan pakej percutian ke Jeju, Korea Selatan, yang ditawarkan syarikat berkenaan.

Beliau berkata, jumlah yang perlu dibayar sebanyak RM999 seorang, termasuk tiket penerbanga­n, penginapan, pengangkut­an dan tiket masuk tempat pelanconga­n menarik di Jeju.

Pakej dibatal tanpa alasan

“Kami membuat tempahan pakej berkenaan setahun sebelum percutian pada 28 April sehingga 1 Mei tahun lalu dan sudah membayar sebanyak RM49,000 membabitka­n tujuh pelajar kami yang menghidap Autism dan ‘Attention Deficit Hyperactiv­e Disorder’ (ADHD), 21 ahli keluarga pelajar dan 15 guru.

“Namun, pihak syarikat kemudian memaklumka­n pakej berkenaan dibatalkan kurang 20 hari sebelum kami dijadualka­n berangkat ke Korea Selatan, tanpa sebarang alasan.

“Apabila menuntut balik wang yang dibayar, pelbagai alasan diberikan. Syarikat itu berdalih meminta masa untuk buat pembayaran, kali terakhir kami berhubung dengan mereka adalah pada November tahun lalu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.

Eksekutif Pemasaran, Mona Dollah, 37, berkata dua pakej percutiann­ya dibatalkan selepas membuat bayaran deposit sebanyak RM3,000.

“Saya cuba mendapatka­n semula wang saya, namun syarikat berkenaan memberikan satu cek tendang kepada saya.

“Sehingga kini, belum ada lagi tanda-tanda saya akan menerima pulangan wang seperti dijanjikan syarikat berkenaan,” katanya.

Eksekutif Teknologi Maklumat, Sofiaariya­ni Abdul Manaf, 44, berkata dia dan 11 lagi rakannya membayar RM1,999 untuk pakej percutian lima hari empat malam ke Seoul, Korea Selatan.

“Percutian kami kemudian ditangguhk­an dengan alasan tidak ada tiket, dua minggu sebelum kami dijadualka­n ke sana.

“Kami cuba mendapatka­n semula wang kami, namun masih belum berhasil, malah, kami turut diugut, jika kami dedahkan penipuanny­a, kami akan disaman,” katanya.

Tiada lesen percutian ke luar negara

Sementara itu, Pengerusi Biro Pembanguna­n Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Mazlina Abu Bakar, berkata siasatan awal pihaknya mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen untuk menawarkan pakej percutian ke luar negara.

Katanya, lesen syarikat berkenaan hanya untuk membawa pelancong dari luar negara masuk ke negara ini.

“Kami sudah menghubung­i lelaki yang dipercayai pemilik syarikat berkenaan, dia hanya berjanji akan membayar semua tuntutan pakej percutian yang dibatalkan.

“Mangsa ini sudah pun tampil membuat laporan polis, setakat yang kami tahu, ada 26 laporan polis sudah dibuat terhadap syarikat itu,” katanya.

 ?? [FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/BH] ?? Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (dua dari kanan) bersama mangsa penipuan pakej percutian pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/BH] Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (dua dari kanan) bersama mangsa penipuan pakej percutian pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia