Berita Harian

‘Gelagat jurulatih Nauraj tak manis’

-

Kuala Lumpur: Tindakan jurulatih Nauraj Singh Randhawa, Alex Stewart yang memeluk pemenang pingat emas acara lompat tinggi, Brandon Starc serta menyerahka­n bendera Australia kepada atlet itu ketika memakai pakaian rasmi kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Gold Coast dianggap tidak manis.

Mengakui kurang senang dengan tindakan Stewart itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, mana-mana jurulatih perlu menjaga tingkah laku mereka meskipun bukan berstatus jurulatih sepenuh masa bagi satu-satu negara.

Selain menjadi jurulatih bukan sepenuh masa buat Nauraj serta seorang lagi atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, Stewart yang berasal dari Australia turut melatih Starc serta atlet lompat tinggi Australia.

Bukan isu

“Walaupun beliau juga jurulatih negara lain, kita tidak boleh halang beliau dalam keadaan itu (meraikan kejayaan).

“Tapi nampak tak manis bila beliau memakai jersi itu (kontinjen Malaysia). Jadi selepas ini kita akan bagi nasihat supaya pada masa akan datang beliau perlu lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program bicara #Jomundi di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad, di sini, semalam.

Khairy berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana jurulatih membimbing atlet dari negara lain.

“Sebab itu sudah menjadi kebiasaan terutama apabila beliau bukan bersama kita sepenuhnya. Tapi beliau kena jaga sikit kelakuan,” katanya.

Ketua kontinjen negara, Huang Ying How dan Pengarah Program Podium, Tim Newenham menerusi laporan sebelum ini berkata, tindakan Stewart itu tidak menjadi isu kerana beliau bukan jurulatih sepenuh masa Nauraj.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia