Berita Harian

Shafie pertahan pelantikan, musa sahkan tidak letak jawatan

Mohd Shafie terima perakuan TYT, dapat sokongan majoriti ADUN

- Oleh Suzianah Jiffar, Olivia Miwil, Kristy Inus dan Mohd Izham Unnip Abdullah cnews@nstp.com.my Kota Kinabalu

Ketua Menteri Sabah yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata proses pelantikan­nya sebagai Ketua Menteri mengikut peraturan dan Perlembaga­an negeri.

Mohd Shafie yang mengangkat sumpah di Istana Negeri di sini, jam 9.15 malam kelmarin, berkata pelantikan­nya dibuat selepas Yang di-pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berpuas hati mendapati beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kita telah menghantar kepada TYT (Tuan Yang Terutama) surat mengandung­i perakuan daripada ADUN yang menyokong saya, malah TYT memanggil mereka sendiri tanpa kehadiran saya.

“Selepas itu, atas keyakinan TYT bahawa jumlah mencukupi (majoriti), pagi tadi (kelmarin) beliau memanggil Musa (Tan Sri Musa Aman) untuk (menasihati) meletak jawatan,” katanya pada sidang media di rumahnya, di sini, kelmarin.

Tiada keperluan sidang DUN

Khamis lalu, Musa yang juga Pengerusi BN Sabah, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri dan mempengeru­sikan mesyuarat Kabinet negeri yang pertama di Pejabat Pentadbira­n Kerajaan Negeri, di sini, kelmarin.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkata, tiada keperluan untuk memanggil persidanga­n DUN ketika ini bagi menamatkan situasi ‘dua Ketua Menteri’ ketika ini kerana pelantikan­nya jelas mengikut undang-undang dan Perlembaga­an negeri.

Susulan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri, ADUN Senallang itu berkata, anggota Kabinet negeri yang baharu akan diumumkan secepat mungkin.

“Apa yang kita laung dan janji dalam kempen (pilihan raya), wakil rakyat kita tidak akan jadi pengerusi badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebab nak mereka fokus khidmat kepada rakyat.

“Sebanyak 61 GLC di Sabah akan diurus tadbir oleh pihak yang kita percaya boleh mengambil tanggungja­wab dengan baik dan berkesan,” katanya.

Mohd Shafie, semalam, menghadiri acara rasmi pertamanya iaitu Perlumbaan Perahu Naga Persekutua­n Persatuan Cina Sabah (FCAS) 2018, di Teluk Likas, di sini.

Majlis itu turut dihadiri Juhar, selain Pesuruhjay­a Polis Sabah, Datuk Ramli Din dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Joannes Solidau.

Sementara itu, pada sidang media di rumahnya, semalam, Mohd Shafie berkata WARISAN dan Pakatan Harapan (PH) akan menimbang sama ada menerima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO ke dalam pakatan itu selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Ketika ini, katanya, hanya ADUN daripada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandus­un Murut Bersatu (UPKO) terus diterima berdasarka­n kerjasama dengan parti itu.

“Orang datang jumpa kita untuk menyatakan sokongan, kita terima. Bagi ADUN daripada UPKO mudah untuk kita terima terus kerana ada kerjasama dengan parti itu, namun bagi yang dari UMNO, kita akan pertimbang­kan dan buat keputusan nanti,” katanya.

Sehingga kini, seramai 10 ADUN BN tampil menyatakan sokongan kepada WARISAN PH, masing-masing empat daripada UPKO dan enam daripada UMNO.

Mohd Shafie berkata, tindakan untuk tidak menerima terus ADUN BN ke dalam gabungan berkenaan mengambil kira pandangan penyokong yang mahu supaya kerajaan tidak menerima mereka.

Sementara itu, beliau berkata, Musa perlu meletakkan jawatan Ketua Menteri kerana sudah hilang kepercayaa­n daripada sebahagian besar ADUN.

 ??  ??
 ??  ??
 ?? [FOTO MOHD ADAM ARININ/BH] ?? Mohd Shafie (empat dari kiri) ketika hadir pada Majlis Perlumbaan Perahu Naga FCAS 2018, di Teluk Likas, Kota Kinabalu, semalam.
[FOTO MOHD ADAM ARININ/BH] Mohd Shafie (empat dari kiri) ketika hadir pada Majlis Perlumbaan Perahu Naga FCAS 2018, di Teluk Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia