Berita Harian

Raja Perlis perlu masa teliti senarai calon MB

-

Kangar: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullai­l, memerlukan masa untuk memberi perkenan kepada calon Menteri Besar dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang diserahkan oleh Barisan Nasional (BN) kepada Istana Arau.

Dalam titahnya pada Majlis Penutup Perkampung­an Sunnah Siri 5, di sini, semalam, Tuanku Syed Sirajuddin meminta rakyat Perlis supaya bertenang kerana baginda memerlukan masa untuk mengenali calon yang diserahkan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Saya tahu rakyat tertunggut­unggu siapa Menteri Besar Perlis. Tetapi, bagaimana saya nak pilih Menteri Besar jika nama calon (wakil rakyat) yang dihantar kepada saya, saya tidak kenal langsung?

“Saya berharap rakyat negeri ini dapat bersabar dan janganlah risau kerana saya masih tidak lari lagi daripada Perlembaga­an dan undang-undang,” titah baginda.

Baginda juga meminta rakyat supaya tidak terlalu gopoh dan mempercaya­i berita palsu yang tersebar luas di media sosial mengenai krisis pemilihan menteri besar di negeri itu.

“Bukanlah satu perkara yang baru jika saya lewat memberi perkenan untuk melantik Menteri Besar baharu kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

Kenal lebih dekat calon

“Dulu, pada 2008, saya ambil masa dua minggu untuk pilih Menteri Besar selepas mengenal dengan lebih dekat nama calon yang dihantar oleh parti yang menang,” titah baginda.

Yang hadir mencemar duli pada majlis itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai­l dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man, yang juga Menteri Besar Perlis penggal yang lalu.

Terdahulu, NSTP melaporkan kemungkina­n wujud krisis pelantikan Menteri Besar meskipun BN Perlis memenangi majoriti 10 kerusi daripada keseluruha­n 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Tuanku Syed Sirajuddin bersama Tuanku Syed Faizuddin berangkat sempena perasmian Perkampung­an Sunnah 2018 di Masjid Alwi, malam tadi. Berangkat sama, Tuanku Lailatul Shahreen.
[FOTO BERNAMA] Tuanku Syed Sirajuddin bersama Tuanku Syed Faizuddin berangkat sempena perasmian Perkampung­an Sunnah 2018 di Masjid Alwi, malam tadi. Berangkat sama, Tuanku Lailatul Shahreen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia