Berita Harian

Ahli Parlimen Batu kini sertai PKR

-

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Batu P Prabakaran yang menang atas tiket Bebas yang direstui PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), semalam sah menyertai parti itu.

Perkara itu diumumkan oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Parlimen Batu di sini, semalam.

Prabakaran, 22, berkata beliau bersyukur kerana akhirnya impiannya untuk menjadi anggota parti itu tercapai.

“Saya sangat bangga, saya memang ada rancangan untuk menyertai PKR sebelum ini dan pernah memasang angan-angan untuk menyertai Suara Pemuda Keadilan.

“Pada mulanya saya hanya mahu menjayakan aspirasi pemuda-pemuda di Batu sebab itulah saya mahu bertanding di sini, namun apabila PKR memberi sepenuh sokongan, saya lebih bersemanga­t untuk berjuang,” katanya kepada pemberita, semalam.

Prabakaran, turut berhasrat untuk memperjuan­gkan hak mahasiswa untuk menyertai politik dan memiliki hak kebebasan bersuara.

Padam rekod bekas PM

Prabakaran berjaya memadamkan rekod 41 tahun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini menjadi wakil rakyat termuda pada usia 23 tahun apabila menang kerusi Parlimen Pekan pada 21 Februari 1979.

Pada PRU14, Prabakaran memperoleh 38,125 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Dr Dominic Lau Hoe Chai yang mendapat undi 13,687, calon PAS, Azhar Yahya (10,610) dan seorang lagi calon Bebas, Datuk V M Panjamothy (383).

Kemenangan Prabakaran dibantu oleh penyokong PKR yang sebelum ini mengisytih­arkan sokongan kepada calon muda itu selepas Tian Chua tidak dapat mempertaha­nkan kerusi Parlimen itu apabila borang pencalonan­nya ditolak Suruhanjay­a Pilihan Raya ketika penamaan calon berikutan denda mahkamah berkaitan kesnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia