Berita Harian

Guru bentuk jiwa, akal budi pelajar seimbang

- Dr Aminudin Mansor , Subang Jaya, Selangor

Seorang guru bukan sahaja berperanan sebagai pendidik, malah sebagai pembimbing dan pembentuk jiwa serta akal budi pelajar yang seimbang.

Dalam era teknologi maklumat dengan perkembang­an media baharu dan media sosial, guru perlu bijaksana dan lebih terkehadap­an daripada pelajar.

Sempena Hari Guru 2018, jasa guru perlu dihargai kerana mendidik dan mengajar anak bangsa bagi memacu kecemerlan­gan ilmu serta menambah kemahiran berfikir, memimpin, dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Usaha berkenaan sejajar Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjurus kepada pembentuka­n akal budi pelajar.

Oleh itu, hargailah jasa guru yang gigih, tabah dan sabar dengan kerenah pelajar bagi membentuk akal budi seimbang. Peranan guru dalam mendidik, mengajar serta membimbing pelajar bagi menyediaka­n pelapis pemimpin masa depan adalah sangat penting.

Membentuk akal budi pelajar bukan sahaja boleh dilakukan ketika pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, tetapi juga menerusi mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Sejarah, malah Sains juga.

Ini akan dapat mengingatk­an pelajar mengenai peranan dan tugas mereka pada masa hadapan demi agama, bangsa dan negara.

Pendidikan akhlak

Pada masa lain seperti waktu perhimpuna­n pagi, pendidikan akhlak juga boleh diterapkan dengan fokus ucapan mengenai bagaimana membentuk akhlak yang baik melalui tulisan, ucapan, perkataan, perlakuan dan bicara dengan rakan serta guru.

Lukman Hakim, nama yang disebut dalam al-quran, dalam mendidik anaknya berpesan: “Hai anakku, hendaklah dirimu berasa takut memuliakan orang yang celaka, mencerca orang yang berakal, menghina orang mulia, bergurau dengan orang yang bodoh, bersahabat dengan orang jahil dan berkelahi dengan orang jahat. Awal kesempurna­an kebajikan itu adalah bersegera kembali kepadanya.”

Selain itu, berikan contoh dan teladan berkesan bagi membentuk jiwa pelajar ke arah jiwa bersemanga­t, tidak mudah putus asa, sentiasa berusaha, gigih menghadapi peperiksaa­n dan perjuangan dalam hidup.

Ini boleh dilakukan dengan memberi contoh pelajar yang berjaya dan hadiah buku berkaitan pemimpin berjiwa besar.

Kekuatan akhlak dan jiwa mampu membendung setiap gejala sosial yang melanda hati dan diri pelajar, menjadi benteng keimanan dan kekuatan yang mampu menangkis godaan dan juga ancaman dalam diri pelajar.

Remaja masa kini berdepan pelbagai gejala negatif seperti ponteng sekolah, masalah disiplin, terpengaru­h dengan permainan internet, penyalahgu­naan dadah dan gejala sosial membabitka­n remaja.

Jiwa pelajar, khususnya remaja selalu berdepan kebimbanga­n, keresahan dan kekhuatira­n dalam menghadapi masa depan. Pada tahap ini, mereka sedang mencari identiti dan mula mengenal erti kehidupan.

Gelojak remaja

Gelojak perasaan remaja lebih banyak menguasai setiap keputusan sehingga sikapnya sukar difahami, lebih banyak menuntut kebebasan, bermain tanpa memikirkan masa depan hingga menyebabka­n ramai yang tersungkur di tengah kehidupan.

Perjalanan masa remaja terlalu pantas, luas dan rencam. Jika tiada perancanga­n teliti daripada ibu bapa dan guru dengan persediaan nilai murni dan akhlak serta semangat waja, mereka akan menyesal sepanjang hayat.

Akhlak dan jiwa remaja mesti diisi iman yang kental, kukuh dan semangat berjiwa besar.

Pengisian nilai murni, pembentuka­n akhlak dan jiwa remaja yang kuat boleh dilakukan pada hujung tahun selepas peperiksaa­n, iaitu pada hujung Oktober dan awal November.

Pihak sekolah boleh mengadakan kem motivasi akhlak dan kem jiwa remaja dengan pelbagai ceramah, bimbingan, lawatan, bengkel dan bicara daripada tokoh berwibawa.

Kesimpulan­nya, guru dan ibu bapa berperanan besar membentuk akhlak yang baik dan jiwa besar lagi murni kepada pelajar. Akhlak mulia mesti disemai dalam hati mereka bagi menjalani kehidupan harian dengan baik dan tenang.

Tanpa akhlak yang baik dan jiwa yang murni, pelajar dan remaja akan banyak mendatangk­an masalah kepada ibu bapa, ahli keluarga, masyarakat dan negara.

Membentuk akal budi pelajar bukan sahaja boleh dilakukan ketika pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, tetapi juga menerusi mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Sejarah, malah Sains juga”

 ??  ?? Jasa guru memacu kecemerlan­gan ilmu dunia dan akhirat kepada anak bangsa wajar dihargai.
Jasa guru memacu kecemerlan­gan ilmu dunia dan akhirat kepada anak bangsa wajar dihargai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia