Berita Harian

Presiden PBNS kekal

Jawatan Mohamad hanya boleh ditukar melalui pertanding­an, bukan secara automatik

- Oleh Mohd Amin Jalil

Walaupun jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan bertukar tangan susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14), Rabu lalu, namun kedudukan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) tidak berubah.

Datuk Seri Mohamad Hasan masih berstatus sebagai Presiden PBNS berikutan perlembaga­an persatuan itu yang menyebut Menteri Besar Negeri Sembilan secara automatik dilantik sebagai Presiden PBNS sudah digubal sebelum ini.

Naib Presiden PBNS, Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin, berkata Mohamad terus kekal sebagai Presiden badan induk bola sepak negeri itu walaupun kepemimpin­an kerajaan negeri bertukar tangan.

Ubah perlembaga­an

“Jawatan Presiden PBNS kini bukan lagi secara automatik diduduki Menteri Besar Negeri Sembilan seperti sebelum ini sebaliknya ia sudah boleh ditandingi kerana perlembaga­an mengenainy­a sudah diubah.

“Kini jawatan itu sudah boleh ditandingi. Jadi, Datuk Seri Mohamad masih kekal sebagai Presiden sehingga pemilihan kepemimpin­an PBNS yang akan datang,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan Mohamad dalam PBNS selepas kepemimpin­an negeri bertukar tangan.

Pada PRU14, Rabu lalu, Pakatan Harapan menang 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, sekali gus layak membentuk kerajaan negeri selepas menewaskan Barisan Nasional yang memperoleh 16 kerusi.

Menteri Besar Negeri Sembilan kini dipegang oleh Aminuddin Harun, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.

Mohamad Haslah yang juga pengurus pasukan Liga Super Negeri Sembilan, berharap penjelasan itu dapat memperbetu­lkan laporan yang mengatakan kepemimpin­an baharu akan menerajui pentadbira­n PBNS susulan keputusan PRU14.

Katanya, penjelasan itu juga diharap dapat mengelak sebarang kekeliruan terutama dalam kalangan orang ramai dan peminat setia skuad Hobin Jang Hobin.

“Saya harap penjelasan ini dapat menjawab pertanyaan peminat pasukan Negeri Sembilan mengenai kedudukan Presiden PBNS,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia