Berita Harian

Jualan batu karang laris

Selain perhiasan, dipercayai juga sebagai ‘penghalau kejahatan’

- Oleh Poliana Ronnie Sidom

Tidak sampai sejam dipamerkan, batu karang yang dijual di pasar tani di bandar ini habis dibeli pengumpul batu karang untuk dijadikan perhiasan atau disimpan dalam akuarium.

Batu karang berkenaan dijual peniaga wanita, Salasita Aspah, 38, dari Pulau Nunuyan yang mula berniaga di tamu mingguan itu sejak awal tahun ini.

Salasita berkata, ada pelbagai jenis batu karang dijual mereka dan yang paling mendapat permintaan adalah batu karang dengan akar dipanggil ‘akar bahar’.

Katanya, ini kerana ia bukan sahaja boleh dijadikan perhiasan, malah dipercayai sebagai ‘penghalau kejahatan’ bagi segelintir masyarakat.

Batu karang itu, katanya, diambil di tepi pantai ketika air surut, selain diperoleh nelayan secara tidak sengaja termasuk pukat ketika menangkap ikan di laut dengan harga dijual antara RM5 hingga RM15 mengikut pada saiz.

“Mengikut cerita nenek moyang, masyarakat di pulau dahulu menggantun­g ‘akar bahar’ di pintu untuk menakutkan ‘kuasa jahat’ daripada memasuki rumah.

“Saya jual sekadar untuk tambah pendapatan. Jualan utama saya adalah kelapa, ikan masin atau daun pokok durian belanda,” katanya ketika ditemui, semalam.

Produk berganti ikut musim

Selain Salasita, seramai enam wanita dari Pulau Nunuyan berniaga di Pasar Tani yang diadakan setiap Ahad itu dengan produk jualan mereka berganti mengikut musim termasuk pelbagai jenis kerang, siput serta buah-buahan.

Salasita berkata, sepupunya yang turut menjual di pasar tani itu pernah mendapat lebih RM100 sehari dengan cuma menjual batu karang dengan sebahagian besar pelanggan yang gemar membelinya adalah masyarakat Cina yang mahu menjadikan­nya sebagai perhiasan.

Katanya, akar bahar banyak ditemui di pesisir pantai Pulau Nunuyan terletak kirakira 20 batu nautika dari sini, namun hanya boleh diambil apabila batu karang berkenaan mati.

“Jika masih hidup, akar bahar tidak dapat diambil kerana terlalu keras. Bukan sahaja batu karang, banyak lagi yang boleh dijual seperti cangkerang siput yang mudah ditemui di kawasan pulau,” katanya.

 ?? [ FOTO POLIANA RONNIE SIDOM / BH ] ?? Salasita menunjukka­n batu karang yang dijual di Pasar Tani, Sandakan.
[ FOTO POLIANA RONNIE SIDOM / BH ] Salasita menunjukka­n batu karang yang dijual di Pasar Tani, Sandakan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia