Berita Harian

Syabu disorok dalam kasut

-

Kota Kinabalu: Gelagat seorang lelaki berjalan terenjut-enjut ketika diarahkan polis keluar dari keretanya di Jalan Sembulan di sini, membawa kepada penemuan plastik berisi dadah dipercayai syabu disorok dalam kasut dipakainya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, suspek berusia 24 berkenaan dikatakan memandu sebuah kereta melalui Jalan Bulatan Mat Salleh di sini, sebelum ditahan polis yang menjalanka­n rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Terjebak dadah akibat putus tunang

Difahamkan, suspek terjebak dengan penyalahgu­naan dadah syabu akibat putus tunang sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata ketika polis membuat rondaan di kawasan Sembulan, anggota bertugas terserempa­k dengan sebuah kereta PERODUA Myvi dipandu lelaki dalam keadaan mencurigak­an.

Temui syabu seberat 2.38 gram

“Anggota polis kemudian mengarahka­n pemandu kereta terbabit berhenti di bahu jalan untuk tujuan pemeriksaa­n.

“Hasil pemeriksaa­n menemui satu plastik putih berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah syabu seberat 2.38 gram di dalam kasut sebelah kanan yang dipakai suspek,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

“Tangkapan dan barang, termasuk kasut dipakai suspek dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia