Berita Harian

Congo, WHO cuba halang epidemik Ebola

-

Kinshasa: Republik Demokratik Congo dan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pakar kecemasan, untuk cuba menghalang penyebaran epidemik Ebola, disyaki menjangkit­i lebih 30 orang setakat ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memperoleh 4,000 dos vaksin eksperimen Ebola dan bersiap sedia untuk penghantar­an di Congo, kata Pengarah untuk rantau Afrika, Matshidiso Moeti menerusi telefon, kelmarin. Hanya dua kes disahkan di makmal setakat ini.

Kes disyaki terbaharu dilaporkan Jumaat lalu di wilayah barat laut Equateur, yang dilawati Menteri Kesihatan Oly Ilunga Kalenga bersama pegawai daripada WHO dan Tabung Kanakkanak PBB (UNICEF).

Presiden Joseph Kabila juga bertemu Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesu­s, di sini.

Moeti berkata, 362 mangsa yang terdedah kepada wabak, dikesan mempunyai petanda berisiko menyebar epidemik.

Bimbang merebak ke bandar

Beliau menambah, dua daripada pembawa itu pergi ke ibu kota wilayah di Mbandaka, menambah kebimbanga­n terbesar sekiranya Ebola mungkin merebak di sana.

“Kami bimbang kerana ia adalah bandar yang mempunyai sejuta penduduk,” katanya.

Wabak pertama dilaporkan Congo berpusat di perkampung­an Ikoko Impenge, berhampira­n bandar Bikoro, Selasa lalu, dengan 32 kes disyaki, mungkin atau disahkan, termasuk 18 kematian sejak 4 April lalu.

Beberapa kematian berlaku seawal Januari tidak dikaitkan dengan epidemik itu.

“Ada bukti, dua atau tiga bulan terdahulu, beberapa kes demam berdarah dan kematian berlaku. Kami sedang mengenal pasti petanda awal jangkitan,” kata Moeti. REUTERS

 ?? [ FOTO AFP ] ??
[ FOTO AFP ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia