Berita Harian

Tugas berat penjaga gol hoki

Danish Afnan kurangkan berat badan untuk kekal aktif dan cergas di padang

- Oleh Maria Uffa Zulkafeli maria.uffa@bh.com.my

Tanggungja­wab sebagai penjaga gol hoki seperti yang digalas personalit­i minggu ini ternyata cukup berat dan bukanlah suatu tugas yang mudah.

Tanpa kecergasan dan latihan yang mencukupi, Muhammad Danish Afnan Mohd Faizal, 15, sukar untuk merealisas­ikan hasrat pasukannya bagi mengawal gawang gol daripada mudah dibolosi pihak lawan.

Ikuti temu bual wartawan

BH Minda bersama dengan pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Sukan Negeri Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur itu mengenai peranannya dalam sukan berkenaan.

Bagaimanak­ah anda boleh terbabit dalam sukan hoki?

Saya mula menceburi bidang hoki sejak berusia 11 tahun selepas bakat saya dikesan oleh Encik Mohd Faiz Abdul Rahim. Sehingga kini, saya aktif hoki di sekolah dengan jurulatih di sekolah, Encik Saiful Munir Mansor antara individu yang banyak membantu, mengajar dan mematangka­n corak permainan saya ketika beraksi di padang. Bercakap mengenai pendorong utama, sudah semestinya kedua-dua ibu bapa saya kerana mereka sentiasa memberi sokongan sejak saya mula aktif dalam sukan ini. Bagi saya, hoki adalah permainan yang sangat menarik dan unik yang memerlukan teknik dan kemahiran tinggi. Apapun, perbezaan antara penjaga gol dengan pemain hoki jauh berbeza kerana tugas sebagai penjaga gol amat berat kerana merupakan benteng terakhir yang perlu menjaga gawang gol daripada dibolosi.

Apakah kelebihan aktif sukan ini?

Setiap kali menyertai kejohanan hoki, saya memperoleh banyak ilmu baharu yang dapat memantapka­n cara permainan untuk menjadi lebih baik. Perkara ini memberikan pengalaman dan dapat membina keyakinan yang tinggi pada diri saya supaya tidak gentar apabila bertemu pasukan lawan. Selain itu, saya juga gemar menonton video berkaitan corak permainan penjaga gol dari negara luar bagi menambah baik kemahiran diri. Malah, saya berusaha menurunkan berat badan daripada 76 kilogram kepada 61 kilogram dalam masa tiga bulan semata-mata untuk kekal cergas dan aktif ketika di padang.

Siapakah idola anda dalam sukan hoki?

Idola saya ialah David Harte dari Ireland kerana beliau mempunyai disiplin yang tinggi dan tidak mudah berputus asa. Beliau sentiasa melakukan aktiviti tambahan bagi menambah kemahirann­ya sebagai penjaga gol bertaraf dunia.

Bagaimanak­ah anda menguruska­n masa antara akademik dengan sukan hoki?

Saya memberikan tumpuan sepenuhnya ketika di dalam kelas dan mengambil kelas tuisyen pada waktu malam setiap Isnin hingga Jumaat memandangk­an jadual latihan hoki saya agak padat. Selain itu, saya meluangkan masa selama satu jam selepas waktu sekolah untuk belajar secara berkumpula­n sebelum memulakan latihan hoki.

Apakah harapan anda pada masa hadapan?

Saya memasang impian untuk menjadi penjaga gol terbaik untuk sekolah, negeri dan peringkat kebangsaan. Saya juga berazam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Pentaksira­n Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.

 ??  ?? Muhammad Danish Afnan.
Muhammad Danish Afnan.
 ??  ?? Muhammad Danish Afnan (empat dari kiri, depan) bersama-sama pasukan hoki sekolahnya.
Muhammad Danish Afnan (empat dari kiri, depan) bersama-sama pasukan hoki sekolahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia