Berita Harian

Peti besi hanya ada wang lama, sijil nikah

-

Kuala Lumpur: Selepas hampir dua hari berusaha untuk membuka sebuah peti besi lama yang terdapat dalam kediaman Datuk Seri Najib Razak dekat Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini, polis hanya menemui sijil nikahnya dengan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Selain itu, peti besi berkenaan yang didakwa sudah lebih 20 tahun tidak dibuka kerana kuncinya hilang turut mengandung­i sejumlah wang lama, termasuk mata wang asing.

Peguam mewakili Najib, Datuk Harpal Singh Grewal, memaklumka­n tiada barangan berharga lain dalam peti besi berkenaan, selain wang lama dan sijil nikah.

“Saya diberitahu terdapat sejumlah ringgit lama dan mata wang asing lama dalam peti besi itu selain sijil nikah.

“Bagaimanap­un saya tidak pasti berapa jumlahnya (wang) tetapi tidak banyak,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Terdahulu, polis terpaksa menggerudi dan meminta bantuan beberapa tukang kunci untuk membuka peti besi yang terletak di tingkat satu rumah kediaman keluarga bekas Perdana Menteri itu sejak jam 8.30 pagi, Khamis lalu.

2 hari peti besi berjaya dibuka

Selepas hampir dua hari, peti besi berkenaan akhirnya berjaya dibuka jam 4 petang kelmarin.

Penggeleda­han terhadap kediaman peribadi bekas perdana menteri itu serta lima lagi lokasi lain, adalah sebahagian daripada siasatan berhubung skandal 1Malaysia Developmen­t Berhad (IMDB) oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang dimulakan sejak Rabu lalu.

Sementara itu, di Putrajaya, tujuh kenderaan rasmi PDRM dilihat keluar daripada Kompleks Seri Perdana, di sini kira-kira jam 4.20 petang, semalam.

Difahamkan, kehadiran 10 pegawai dan anggota dipercayai pasukan JSJK adalah bagi menyiasat lapan peti besi milik Najib yang berada di Kediaman Rasmi Perdana Menteri.

Seorang daripada pegawai di dalam kenderaan polis itu hanya sempat memberi isyarat kosong dengan tangan ke arah media sebelum memecut meninggalk­an pekarangan kompleks.

Terdahulu, spekulasi menyatakan tukang kunci akan dibawa ke kediaman itu menarik perhatian ramai sehingga mendorong petugas media berkampung di luar bangunan tersebut sejak 11 pagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia