Berita Harian

Gesaan tubuh RCI siasat kes Altantuya

Langkah kenal pasti motif, kesan individu beri arahan bunuh wanita Mongolia

- Oleh Fahmy Azril Rosli

Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjay­a Siasatan Diraja (RCI) berhubung pembunuhan seorang model Mongolia, Altantuya Shariibuu, di Malaysia.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor daripada DAP, Ramkarpal Singh, berkata langkah itu diyakini dapat mengenal pasti motif pembunuhan dan mengesan siapa individu yang selama ini bertanggun­gjawab memberi arahan membunuh wanita Mongolia itu.

Beliau berkata, mereka yang bersekongk­ol merancang pembunuhan itu mesti diheret ke muka pengadilan, tidak kira apa juga jawatan atau kedudukan bukti ditemui.

“Memandangk­an kes ini sangat aneh, saya berpendapa­t bahawa jika disabit kesalahan Sirul (Azhar Umar) boleh dipenjara seumur hidup. Jadi, Sirul akan dihantar pulang ke Malaysia dari Australia. Selepas itu, Sirul akan dihantar ke penjara Kajang untuk menjalani hukumannya.

“Apabila Sirul kembali ke tanah air, dia akan dipaksa untuk bekerjasam­a dalam siasatan berkenaan atau RCI jika perlu. Dia juga perlu tampil sebagai saksi bagi mendedahka­n siapa yang mengarahka­n pembunuhan Altantuya.

“Sirul tidak boleh ‘tawar-menawar’ tragedi yang ada kaitan terhadapny­a. Dia mesti dihantar pulang ke Malaysia dengan cara yang dicadangka­n supaya kes pembunuhan misteri ini dapat ditutup,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ramkarpal berkata, sebab utama Kerajaan Australia tidak mungkin mengekstra­disi Sirul sekiranya permohonan untuk berbuat demikian dibuat, adalah kerana Sirul mungkin dijatuhi hukuman mati apabila kembali ke Malaysia.

Tentang hukuman mati

Beliau yang juga seorang peguam menegaskan, dasar Australia menentang pelaksanaa­n hukuman mati.

“Jika hukuman mati ditukar kepada penjara seumur hidup, kerajaan Australia pasti akan mengusirny­a ke Malaysia untuk menjalani hukuman di sini,” katanya

Selain Sirul, beliau juga berharap penganalis­is politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dipanggil untuk menjadi saksi yang berpotensi dalam kes pembunuhan Altantuya.

Pada 4 Jun 2007, bapa dan ibu Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsets­eg Sanjaa, serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshag­ai Bayarjarga­l dan Altanshaga­i Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar Umar, penganalis­is politik Abdul Razak dan Kerajaan Malaysia, menuntut pampasan RM100 juta.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006.

Sirul, 45, bekas anggota polis yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya pada 2006, semalam menawarkan diri untuk mendedahka­n siapa yang mengarahka­n pembunuhan wanita itu jika dia diberikan pengampuna­n penuh oleh kerajaan baharu Malaysia.

Sirul yang kini dalam tahanan di Brisbane, Australia, selepas melarikan diri dari negara ini pada 2015, menegaskan bahawa dia diarahkan oleh ‘individu penting’ untuk membunuh wanita itu.

Altantuya dibunuh dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.

Kes pembunuhan­nya adalah aspek paling menggempar­kan dalam skandal membabitka­n bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa terbabit dalam pembelian kapal selam Scorpene buatan Perancis pada 2002.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia