Berita Harian

Rosmah akui boleh tidur lena, tak simpan dendam

-

Kuala Lumpur: Datin Seri Rosmah Mansor mengakui kini boleh tidur lena, biarpun beberapa rakan berpaling tadah ekoran kekalahan suaminya, Datuk Seri Najib Razak, memimpin Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Rosmah dalam temu bual khas bersama akhbar Malay Mail, kelmarin berkata, beliau tidak menyimpan dendam terhadap individu berkenaan yang kini menyalahka­n suaminya.

“Perkara ini normal dalam politik. Apabila kita berada di atas, semua orang sanjung, tetapi apabila kita mengalami masalah, keadaan menjadi seperti dijangkaka­n. Ia adalah sebahagian daripada kitaran kehidupan.

“Saya tidak kisah. Saya OK. Semua orang mempunyai hak untuk bercakap apa yang mereka mahu cakapkan,” katanya.

Fokus lindungi diri, keluarga

Dalam laporan dikeluarka­n Malay Mail, Rosmah berkata, bahawa fokusnya sekarang adalah untuk melindungi diri serta keluargany­a, namun berharap kehidupan mereka kembali normal secepat mungkin.

“Buat masa ini, kami menghadapi apa yang berlaku dengan baik. Lagipun, berada dalam sebuah keluarga politik, kami sudah terbiasa dengan keadaan sebegini.

“Ini adalah sebahagian ujian dan cabaran dalam politik,” kata Rosmah, yang turut ditemani peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent dan M Puravalen, serta beberapa kenalan rapatnya.

Dalam wawancara itu, Rosmah menyatakan, beliau kini lebih bebas melakukan apa sahaja, termasuk tidur lebih lena.

“Ini adalah kehidupan yang perlu dihadapi dan saya tiada masalah dengannya. Saya tidak minta perkara ini berlaku, namun ia kehidupan yang lebih baik apabila kini saya boleh melakukan segala yang saya mahu.

Minta layanan baik polis

Rosmah berharap, siasatan dan pemeriksaa­n polis di rumahnya dapat berakhir dengan cepat, selain meminta polis melayani keluargany­a dengan baik sebagai warga negara Malaysia.

“Saya boleh terima semua serbuan yang dilakukan hingga awal pagi itu. Saya memahaminy­a.

“Namun, saya percaya seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. Disebabkan itu, kami mahukan layanan sebagai manusia. Hak untuk dihormati,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia