Berita Harian

Suspek ahli sindiket samun, tipu tukaran wang asing RM12J

-

Kuala Lumpur: Lelaki warga Afrika yang ditembak mati di Jalan Memanda, Ampang, Selangor, awal pagi kelmarin adalah ahli sindiket samun dan penipuan pertukaran mata wang asing membabitka­n kerugian lebih RM12 juta sejak dua tahun lalu.

Sindiket yang dipercayai aktif sejak 2016 dengan jumlah samun membabitka­n kerugian lebih RM12 juta dipercayai menjadikan rakyat tempatan yang ingin menukarkan wang dolar Amerika kepada ringgit dalam kadar yang tinggi sebagai sasaran mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata selain suspek berusia 30-an yang ditembak mati, pihaknya juga memberkas dua lagi ahli sindiket itu warga Afrika dan Arab bagi menjalanka­n siasatan lanjut.

“Dalam kes ini, mangsa hendak menukarkan AS$150,000 (RM595,800) milik syarikatny­a kepada ringgit dengan nilai tukaran wang yang lebih tinggi bertemu dengan seorang lelaki tempatan yang memperkena­lkannya dengan seorang lagi lelaki warga Arab.

Mangsa jerit minta tolong

“Mereka bertemu di bangunan Intermark, Jalan Tun Razak, sebelum menaiki kereta Toyota Vios berwarna hitam dipandu lelaki Arab berkenaan yang hendak bertemu dengan seorang lelaki Arab lain di Bukit Bintang,” katanya pada sidang media di sini, pagi semalam.

Beliau berkata, lelaki Arab terbabit sebaliknya membawa mangsa ke kawasan sunyi di Jalan Damai, sebelum memberhent­ikan keretanya dengan alasan mahu melihat wang milik mangsa yang diletakkan dalam beg komputer riba.

“Pada masa yang sama, empat lelaki Afrika yang menaiki sebuah kereta lain mengekori mereka sebelum bertindak membuka pintu belakang dan berlaku pergelutan selepas suspek merampas beg mengandung­i wang tunai berkenaan dan melarikan diri.

“Mangsa yang menjerit meminta pertolonga­n kemudian dibantu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat D9, JSJ Kuala Lumpur, yang mengejar suspek dan memberhent­ikan mereka di Jalan Memanda 2, Ampang,” katanya.

Mazlan berkata, seorang suspek Afrika bertindak agresif dengan melibas parang ke arah seorang anggota sehingga menyebabka­n pihak polis terpaksa melepaskan empat das tembakan sehingga dia terbaring.

4 suspek lain diberkas

Suspek terbabit kemudian disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Hospital Ampang, manakala empat lagi suspek berusia antara 28 hingga 50 tahun diberkas.

Pada masa ini polis sedang memburu dua lagi suspek yang masih bebas dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun dan Seksyen 307 kanun yang sama atas kesalahan cubaan membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubung­i pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Izzat Mohd Shukri di 018-2684412.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia