Pengertian puasa tingkat ibadat sempena Ramadan
Kuala Lumpur:
Melatih diri berpuasa pada usia kanak-kanak bukanlah satu perkara mudah kerana menuntut kesabaran bagi menjalankan rukun Islam ketiga itu.
Berkongsi pengalaman mula berpuasa, Dhiya Arissa Mohamad Adnan,12, menjadikan upah RM2 sehari sebagai motivasi untuk berpuasa penuh pada usia tujuh tahun.
“Upah itu sebenarnya hadiah daripada ayah untuk saya jika berpuasa penuh, namun selepas melihat kedua-dua abang berpuasa penuh, terbit semangat dalam diri untuk berpuasa dengan seikhlas hati dengan tidak mengharapkan ganjaran.
Tekad puasa penuh
“Sering diusik ayah yang mengatakan sekiranya tidak puasa, tidak boleh beraya membuatkan saya tekad berpuasa sebulan dan untuk tahun selepas itu rasa teruja setiap kali menanti Ramadan tiba,” katanya.
Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari itu berkata, erti puasa bukan sahaja sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi turut memberi keinsafan kepada dirinya untuk bersabar serta menyelami nasib golongan mereka yang kurang bernasib baik.
Bagi mengurangkan rasa letih dan tidak sihat, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu akan memastikan dirinya sentiasa berasa segar dan tidak meninggalkan sahur setiap hari.
“Menu wajib bersahur adalah minuman malt dan nasi berlaukkan sup atau ayam.
“Bagi aktiviti harian pula, saya akan kurangkan aktiviti riadah, sebaliknya banyakkan membaca buku dan melayari internet selain membaca kisah Nabi bagi mengurangkan rasa bosan seterusnya menambah ilmu pengetahuan,” katanya.
Lakukan amalan sunat
Bagi Dean Amir Nazrul Azwan,12, pengalaman berpuasa penuh ketika Tahun Satu tidak memberi tekanan kepadanya kerana berpuasa sewaktu sekolah sesi petang.
“Saya tidak terasa sangat kerana bersekolah sesi petang dan seronok kerana mendapat sokongan padu daripada ibu bapa dan ahli keluarga lain.
“Melihat orang yang lebih dewasa berpuasa, saya juga tidak mahu ketinggalan menunaikan kewajipan Rukun Islam ketiga itu,” kata murid Sekolah Rendah Islam Al-amin Gombak itu yang turut berkongsi antara amalan sunat yang dinantikannya seperti solat Tarawih, tadarus al-quran dan perbanyakkan amalan sedekah.