Berita Harian

Nadal gah benam Djokovic

Bintang Sepanyol mara ke final kali ke-10 di Terbuka Itali

-

Rafael Nadal semakin menghampir­i gelaran kelapan tenis Masters Rome ketika dia menyingkir­kan seteru lama Novak Djokovic 7-6 (7/4), 6-3 awal pagi semalam untuk mara ke final dengan rekod 10 kali.

Kejayaan dalam empat final terakhir akan memberikan pilihan utama dari Sepanyol itu keyakinan tambahan menjelang Terbuka Perancis, tempat dia menang rekod 10 gelaran.

Nadal, yang masih belum tewas pada separuh akhir di Foro Italico, melepaskan serangan gaya biasanya di gelanggang tanah liat selepas menang set pertama yang berlangsun­g selama lebih sejam.

“Saya perlu bermain permainan terbaik saya esok (hari ini),” kata Nadal yang akan berdepan pilihan kedua, Alexander Zverev yang menang 7-6 (15/13), 7-5 mengatasi finalis Terbuka Australia, Marin Cilic.

Tahap tertinggi

“Saya gembira dengan permainan saya. Ia menjadi buat saya, taktik, pukulan.”

“Bermain menentang Novak anda perlu bermain pada tahap tertinggi dengan kesungguha­n dan faham apa taktik yang anda mahu lakukan.”

Pemain nombor dua dunia berusia 31 tahun itu mengurangk­an defisit siri pertembung­an dengan Djokovic kepada 26-25, selepas 51 pertemuan sejak pertama kali pada 2006.

Namun pemain Serbia itu merungut selepas itu mengenai jadual yang memberi kesan terhadap persiapann­ya, bermain lewat petang bagi saingan suku akhir pada Jumaat, sebelum kembali ke gelanggang pada tengah haru Sabtu.

“Saya tidak mahu dilihat membuat komen selepas kalah perlawanan kerana jadual. Tapi selepas habis bermain pada malam dan kembali bermain awal esoknya memberi kesan yang banyak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia