Berita Harian

Conte buktikan pemenang bersiri

Pengurus Chelsea tidak ubah gaya pengurusan selepas menang 2 piala dalam dua musim

-

Antonio Conte memberi amaran kepada Chelsea beliau tidak akan mengubah permintaan­nya, apabila jurulatih yang menghadiah­kan kejuaraan Piala FA buat The Blues itu menunggu keputusan sama ada akan dipecat atau tidak.

Conte mengakhiri musim bermasalah dengan catatan terbaik selepas kejayaan Chelsea menewaskan Manchester United 1-0 pada final Piala FA, awal pagi semalam di Wembley.

Sepakan penalti pada babak pertama yang disudahkan Eden Hazard sudah cukup untuk Conte merangkul trofi kedua selepas dua tahun tugasnya bersama The Blues.

Sama ada kejayaan di Piala FA cukup untuk meyakinkan pemilik Chelsea, Roman Abramovich untuk tidak memecat Conte, keraguan terhadap pengurus dari Itali itu tetap kekal selepas skuadnya menamatkan Liga Perdana di kedudukan kelima dan gagal melayakkan diri ke Liga JuaraJuara.

Conte mengalami perselisih­an dengan pengurusan kelab itu yang gagal menjayakan perancanga­n perpindaha­n dimahukan, selepas kejayaan merangkul gelaran Liga Perdana musim lalu.

Latihan keras

Beliau juga dikatakan mengecam keperibadi­an beberapa bintang Chelsea selain mengenakan latihan keras.

Bekas jurulatih Juventus dan Itali itu menganggap gaya pengurusan­nya menjadikan beliau ‘pemenang bersiri’ yang patut dihormati.

“Selepas dua tahun, kelab ini mengenali saya dengan sangat baik, jika mereka ingin terus bekerja dengan saya, mereka mengenali saya. Saya tidak boleh berubah, cara saya sentiasa sama, kerja keras dan membina mentaliti yang kuat dengan pemain saya.

“Saya tidak boleh berubah, saya fikir apa yang saya katakan sebelum ini sangat jelas sebagai pemain dan sebagai pengurus.

“Anda boleh katakan apa yang anda mahu, tapi saya pemenang bersiri. Saya membuktika­nnya di England, dalam saat sukar buat kelab.

“Saya membuktika­nnya hari ini, kerana kami menemui jalan yang betul untuk memenangi trofi. Ia adalah satu saat yang anda mempunyai banyak persoalan mengenai diri sendiri,” katanya.

AFP Pengurus Chelsea

 ?? [ FOTO REUTERS ] ?? Conte merai kejuaraan Piala FA buat The Blues.
[ FOTO REUTERS ] Conte merai kejuaraan Piala FA buat The Blues.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia