Berita Harian

BWF belum terima rayuan Zulfadli

Pemain bakal hilang hak mencabar kes walaupun dirujuk ke CAS

-

Daripada Fabian Peter

Persoalan besar yang melanda arena badminton negara ketika ini ialah adakah Zulfadli Zulkiffli akan membuat rayuan kepada Persekutua­n Badminton Dunia (BWF) selepas didapati bersalah mengatur perlawanan atau menerima saja takdirnya dan menjadikan ia sebagai pengajaran?

Semalam, BWF mengesahka­n mereka masih belum mendapat apa-apa maklum balas daripada Zulfadli - sejak dikenakan hukuman gantung 20 tahun dan denda AS$25,000 (kira-kira RM98,000) kerana mengatur perlawanan awal bulan ini.

Tarikh akhir untuk merayu ialah tengah malam ini dan jika Zulfadli gagal mengemukak­annya sebelum tarikh akhir, maka bekas pemain itu tidak akan dapat mencabar kes berkenaan meskipun membawanya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Zulfadli yang didapati bersalah oleh panel selepas dua hari perbicaraa­n di Singapura pada 26 dan 27 Februari lalu, mendakwa BWF tidak menjatuhka­n hukuman secara adil ke atasnya.

Bekas juara remaja dunia 2011 itu turut mengesahka­n akan mencabar keputusan berkenaan menerusi rayuan. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini mengesahka­n, pemain berusia 25 tahun itu ada menghantar surat kepada badan induk berkenaan bagi memohon bantuan terhadap proses rayuan.

Bagaimanap­un, setakat semalam, BWF mengesahka­n belum menerima permohonan rayuan Zulfadli.

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund berkata: “Zulfadli masih belum memfailkan rayuan kepada BWF dan tarikh akhir untuk berbuat demikian ialah pada tengah malam, 21 Mei (tengah malam ini).”

Belum fail rayuan

Pada 2 Mei, Zulfadli dan seorang lagi pemain, Tan Chun Seang didapati bersalah oleh tiga panel bebas - James Kitching, Sylvia Schenk dan Annabel Pennefathe­r. Zulfadli dan Chun Seang didakwa mengatur keputusan sepanjang enam kejohanan berbeza iaitu GP Emas Terbuka London (2013), GP Terbuka Belanda (2013), GP Emas Terbuka Korea (2014), GP Terbuka Macau (2014), GP Terbuka AS (2014) dan GP Emas Terbuka Brazil (2016).

Berdasarka­n laporan penuh panel, perbualan aplikasi Whatsapp (sebahagian besarnya dalam bahasa Melayu) antara kedua-dua pemain itu sepanjang 15 bulan antara September 27 (2013) - Disember 12 (2014) dijadikan bukti.

Tiga panel bebas itu mendapati Chun Seang melakukan 26 kesalahan di bawah Kod Salah Laku 2012 kerana terbabit mengatur perlawanan manakala Zulfadli terbabit dalam 27 kesalahan mengikut kod sama selain empat lagi kesalahan di bawah Kod Salah Laku 2016.

Aktiviti kedua-dua pemain berkenaan mula dikesan selepas BWF menerima aduan yang mendakwa Zulfadli menghubung­i mereka untuk cuba mengatur perlawanan Terbuka Brazil 2016.

Di bawah Klausa 14 Peraturan Keadilan BWF, kedua-dua pemain itu berhak untuk merayu tetapi berbaki sehari lagi, adakah mereka akan berbuat demikian?

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia