Berita Harian

Ziyad berhati-hati elak cedera

-

Kuala Lumpur: Jaguh paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli kembali menjalani rutin latihan biasa selepas pulih daripada kecederaan belakang, tetapi lebih berhatihat­i kerana bimbang kecederaan itu akan berulang.

Kini, Ziyad yang mengalami kecederaan pada Februari lalu cuba mengelak daripada tekanan berlebihan ketika latihan bagi memastikan persiapan ke Sukan Para Asia 2018 tidak terjejas.

“Pada bulan Ramadan ini, saya berlatih pada waktu petang pada jam 4.30 hingga 6.30. Saya kemudian meneruskan­nya di sebelah malam (9 hingga 11 malam).

“Sudah lapan tahun dalam bidang ini, jadi saya boleh sesuaikan diri, kawal penggunaan tenaga walaupun puasa dan berlatih.

“Tidak ada alasan buat saya untuk mengelak, tetapi dalam masa sama saya tak mahu letakkan banyak tekanan kerana tidak mahu kecederaan semakin teruk,” kata Ziyad, semalam.,

Bimbang cedera kembali

Ini kerana, dia bimbang jika kembali dilanda kecederaan, impian untuk beraksi di temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia yang dijadualka­n 6 hingga 13 Oktober ini mungkin tidak menjadi kenyataan.

Atlet berusia 28 tahun itu memasang hasrat besar mempertaha­nkan pingat emas acara lontar peluru F20 (masalah pembelajar­an) yang dimenangi pada temasya sama di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

“Saya mahu mempertaha­nkan pingat emas serta mencipta catatan terbaik pada penampilan kedua di Sukan Para Asia,” kata Ziyad yang mencatat rekod dunia lontar peluru F20 dengan jarak 17.29 meter (m) dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di London pada 2017.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia