Berita Harian

WANG PULUHAN JUTA DITEMUI DALAM 11 BEG KONDO PAVILION

-

Kuala Lumpur: Semua wang tunai dalam pelbagai jenis mata wang yang disita polis dalam pemeriksaa­n terhadap tiga unit kediaman milik keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dekat Pavilion Residences di sini pada Jumaat lalu masih dalam proses pengiraan.

Sehingga jam 3.30 petang semalam, sebahagian besar wang yang disimpan dalam 72 beg yang disita dalam pencarian bukti oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada Khamis lalu, sedang dalam proses pengiraan yang dilakukan di Menara 238 dekat Jalan Tun Razak, di sini.

Pemerhatia­n NSTP mendapati, sebuah trak polis bersama anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) yang mengiringi proses membawa wang berkenaan turut berada di pekarangan menara berkenaan.

Berdasarka­n maklumat yang diperoleh, proses pengiraan wang berkenaan dilakukan oleh pegawai dan anggota JSJK bermula sekitar jam 10 pagi semalam.

Difahamkan, setakat ini sebahagian daripada wang terbabit sudah selesai dikira, namun belum sampai 10 daripada keseluruha­n 72 beg.

Jumlah wang terlalu banyak

Proses pengiraan itu dijangka mengambil masa yang panjang kerana jumlah wang yang terlalu banyak termasukla­h pelbagai mata wang asing.

Selain itu, pihak JSJK juga perlu merekodkan setiap nombor siri pada mata wang berkenaan untuk dijadikan bukti dalam proses siasatan susulan.

Wang yang sudah dikira kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, sebelum diserahkan kepada Bank Negara untuk proses pengiraan semula untuk tindakan seterusnya.

Sementara itu, berdasarka­n maklumat lain yang diperoleh, sebuah bank tempatan pula menjalanka­n proses pengiraan nilai semua barang kemas dan jongkong emas yang disita dalam serbuan sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, ketika dihubungi bagi mengesahka­n tindakan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut mengenai proses yang sedang dijalankan pasukannya ketika ini.

Ini adalah berikutan bagi mengelakka­n wujudnya pelbagai spekulasi tidak benar mengenai wang tunai dan barang yang dirampas dalam pemeriksaa­n JSJK sebelum ini.

 ??  ?? Keratan laporan akhbar BH, 15 Mei lalu.
Keratan laporan akhbar BH, 15 Mei lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia