Berita Harian

SIRUL PERLU LAPOR POLIS JIKA ADA MAKLUMAT BAHARU

PDRM boleh hantar pegawai penyiasat bertemu Sirul di Australia untuk ambil keterangan: Musa

- Oleh Arfa Yunus

Bekas koperal, Sirul Azhar Umar, yang dijatuhi hukuman mati mandatori selepas disabitkan kesalahan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, perlu membuat laporan polis, jika mempunyai sebarang maklumat baharu mengenai pembunuhan itu.

Bekas Ketua Polis Negara ketika pembunuhan itu dilakukan, Tan Sri Musa Hassan, berkata siasatan pembunuhan terbabit selesai dengan pesalahnya sudah dijatuhkan hukuman, justeru mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat baharu perlu tampil kepada polis.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu perlu membuat laporan ataupun berjumpa terus dengan pegawai polis untuk memberi keterangan supaya siasatan boleh dibuka semula. Namun, maklumat itu mesti baharu, bukan yang tidak berfaedah.

“Polis boleh menghantar pegawai penyiasat bertemu Sirul di Australia bagi mendapatka­n keterangan, sekiranya dia mempunyai maklumat baharu seperti didakwa,” katanya yang tidak bersetuju dengan permintaan Sirul mendapatka­n pengampuna­n penuh untuk berkongsi maklumat yang didakwa mengenai pembunuhan itu.

Baru-baru ini, Sirul dalam satu wawancara bersama portal Malaysiaki­ni, mendakwa sanggup mendedahka­n perkara yang berlaku sekiranya diberikan pengampuna­n penuh untuk kembali ke Malaysia.

Skandal seks

Altantuya dikatakan terbabit skandal seks dengan bekas penganalis­is politik, Abdul Razak Baginda, yang juga sekutu rapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Warga Mongolia yang dilaporkan berperanan sebagai penterjema­h proses perundinga­n penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Najib pada 18 Oktober 2006.

Keduanya-duanya yang juga anggota Unit Tindak Khas polis, Koperal Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri, ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006.

Bagaimanap­un, Abdul Razak dibebaskan pada 2008, tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan bersubahat bersama Azilah dan Sirul membunuh Altantuya.

Susulan kes pembunuhan itu, Sirul dan Azilah dijatuhi hukuman mati pada 2015. Bagaimanap­un, Sirul melarikan diri ke Australia tetapi ditahan pihak imigresen negara itu dan kini ditempatka­n di pusat tahanan di sana. Azilah kini masih dipenjara dan menunggu pendengara­n rayuannya untuk mendapat pengampuna­n.

Musa menegaskan Sirul tidak berhak mendapat pengampuna­n penuh terhadap kesalahan terbabit kerana sudah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman.

Sudah didapati bersalah

“Ini tidak wajar kerana dia sudah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman. Sekiranya Sirul mahu pulang ke Malaysia, hukumannya boleh diringanka­n tetapi bukannya mendapat keampunan serta merta.

“Sekiranya dia mempunyai maklumat baharu seperti didakwa, polis boleh menghantar pegawainya berjumpa Sirul di Australia bagi mendapatka­n keterangan­nya,” katanya.

Musa berkata, siasatan polis berhubung kes terbabit sebelum ini tidak menemukan sebarang bukti yang boleh mengaitkan Najib atau isterinya, Datuk Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan yang dilakukan tertuduh.

Namun, menerusi perisytiha­ran berkanun (SD) yang dibuat penyiasat persendiri­an yang terbabit dalam kes itu, P Balasubram­aniam, yang meninggal dunia pada 2013, menyebut nama Najib dan Rosmah dalam dokumen terbabit.

Bagaimanap­un, Musa enggan mengulas mengenai SD yang dibuat Balasubram­anian itu.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu perlu membuat laporan ataupun berjumpa terus dengan pegawai polis untuk memberi keterangan supaya siasatan boleh dibuka semula. Namun, maklumat itu mestilah baharu, bukannya yang tidak berfaedah” Musa Hassan, Bekas Ketua Polis Negara

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia