Berita Harian

Pemisahan 3 kuasa perkukuh demokrasi

Pengasinga­n kuasa badan perundanga­n, eksekutif, kehakiman elak penyelewen­gan

- Oleh Azura Abas, Manirajan Ramasamy dan Mohd Husni Mohd Noor

Tun Dr Mahathir Mohamad mahu pemisahan kuasa antara badan perundanga­n, eksekutif dan kehakiman dilakukan bagi mengelakka­n penyelewen­gan, sekali gus mengekalka­n asas demokrasi negara.

Perdana Menteri berkata, pemisahan tiga kuasa itu penting bagi memastikan prinsip semak dan imbang (check dan balance) dapat dilaksanak­an dalam pentadbira­n negara.

“Jika tiada check and balance seperti ini, maka tetap akan berlaku sesuatu yang tidak baik sehingga seseorang itu tidak dapat ditegur dan dihalang.

Tingkat kecenderun­gan langgar undang-undang

“Kalau tiada pemisahan kuasa itu, maka akan ada satu pihak yang menguasai ketiga-tiga kuasa berkenaan menyebabka­n satu pihak itu tidak boleh ditegur dan ditentang sehingga melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaik­an amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, selain Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Perkhidmat­an Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman; dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, kuasa pentadbira­n memainkan peranan amat penting bagi menghalang penyelewen­gan sedemikian daripada berlaku.

Beliau berkata, setiap pentadbir perlu berikrar berkhidmat untuk negara tanpa dipesongka­n oleh perkara lain.

Sebagai contoh, katanya, jika pentadbir diarah melakukan perkara bertentang­an undang-undang negara, mereka bertanggun­gjawab mengelakka­n perkara itu.

Perdana Menteri berkata, beberapa tahun lalu, pentadbir tiada kuasa menegur atau menentang apabila disuruh melakukan sesuatu bertentang­an undang-undang negara.

Rugikan negara

“Kita mendapati ramai anggota pentadbir melakukan perbuatan yang tidak baik dan merugikan negara, mungkin kerana takut atau disogok untuk berbuat demikian,” katanya.

Katanya, beliau berharap mendapat kerjasama tidak berbelah bahagi, selagi yang dilakukann­ya selaku Perdana Menteri tidak bertentang­an dengan dasar dan undang-undang negara.

Dr Mahathir berkata, pentadbir juga perlu menghormat­i Perlembaga­an Persekutua­n yang menjadi asas dalam penyusunan pentadbira­n negara dengan mengutamak­an undang-undang.

“Undang-undang diwujudkan bukan untuk memberi kuasa kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya turut berperanan melindungi rakyat daripada sebarang jenayah yang mungkin dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tugas pentadbira­n sekarang ialah memulihkan negara dan menjadikan Malaysia dihormati semula serta dipandang tinggi di seluruh dunia.

Katanya, ia adalah satu perjuangan agar negara dapat kembali ditadbir dengan baik dan berjaya dalam pembanguna­n serta dikenali sebagai negara yang mampu berdiri atas usaha sendiri.

Negara tidak dihormati

“Kita harus sedar bahawa sekarang negara kita tidak dihormati seperti dahulu.

“Saya amat kecewa kerana sebuah pentadbira­n yang dahulu dikenali sebagai terbaik dalam Komanwel sebab dapat menjalanka­n tugas dengan baik dan melaksanak­an program serta perancanga­n dengan jayanya, tetapi hari ini kita dapati negara ini tidak lagi dihormati dan pentadbir tidak lagi dipandang tinggi,” katanya.

Perjumpaan Dr Mahathir bersama warga JPM itu adalah penampilan pertama beliau bersama penjawat awam selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh pada 11 Mei lalu, berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia