Berita Harian

Tunai janji PRU, bukan kejar jawatan

Naib Presiden PKR mahu lebih fokus kepada rakyat

- Oleh Mohamed Basyir

Semua wakil rakyat perlu memberi keutamaan untuk melaksanak­an setiap janji pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukannya mengejar jawatan dalam kerajaan, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

“Saya sering nyatakan bahawa mana-mana negara muncul sebagai terbaik apabila ahli politiknya lebih memfokuska­n untuk menunaikan janji kepada rakyat dan bukannya mengejar jawatan.

“Jawatan ini hanyalah medium untuk menunaikan janji berkenaan dan kita seharusnya fokus bagi lima atau 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman di Pejabat Ketua Menteri di sini, semalam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengulas isu ketidakpua­san hati dinyatakan wakil komponen Pakatan Harapan (PH) mengenai pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pulau Pinang, minggu lalu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PKR negeri mempertika­i pembahagia­n jawatan EXCO Pulau Pinang yang dianggap tidak mencermink­an kedudukan parti apabila barisannya dikuasai DAP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin, dipetik sebagai berkata, DAP yang menang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat jawatan Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri II dan enam EXCO.

AMANAH, PPBM tak dapat jawatan EXCO

PKR pula yang menang 14 kerusi DUN hanya mendapat jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan dua EXCO, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang masing-masing menang dua kerusi tidak mendapat sebarang jawatan EXCO.

Selain itu, wakil PPBM turut melahirkan rasa tidak puas hati berhubung isu berkenaan.

Berikutan itu, Kon Yeow dilaporkan berkata, dalam sistem berparlime­n dan Kabinet, ketua eksekutif yang dilantik mempunyai kuasa menukar barisan EXCO jika terdapat keperluan, selain menegaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian ketika ini.

Sementara itu, Nurul Izzah yang tidak mahu dilantik sebagai menteri Kabinet, berkata beliau akan terus menjalanka­n tanggungja­wabnya dalam memastikan Malaysia menjadi negara lebih baik.

“Saya konsisten mengenai perkara ini dan saya menerima tawaran untuk dicalonkan kerana rasa cinta dan komited terhadap agenda reformasi, untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik.

“Biarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri Kabinet menjalanka­n tanggungja­wab mereka untuk menunaikan janji dan memperbaik­i apa-apa kekurangan, dan ia seharusnya menjadi keutamaan mereka.

“Saya akan jalankan tanggungja­wab sebagai ahli reformasi dan setiap wakil rakyat mempunyai tugasan mereka masing-masing, sebaliknya bukan hanya barisan menteri Kabinet,” katanya.

 ?? [FOTO MUHAMMAD MIKAIL ONG/BH] ?? Nurul Izzah bersama Yeow (tengah) dan Ahmad Zakiyuddin di Pejabat Ketua Menteri, semalam.
[FOTO MUHAMMAD MIKAIL ONG/BH] Nurul Izzah bersama Yeow (tengah) dan Ahmad Zakiyuddin di Pejabat Ketua Menteri, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia