Berita Harian

Syor jawatan tertinggi UMNO dipertandi­ngkan terus dapat sokongan

Langkah pastikan parti terus relevan, dapat sokongan generasi muda

-

Oleh Shamsul Kamal Amarudin, Khairul Azran Hussin, Nik Sukry Ramli dan Muhaamad Hafis Nawawi

Cadangan supaya tiga jawatan tertinggi UMNO dipertandi­ngkan terus mendapat sokongan pelbagai pihak bagi memastikan parti terus relevan dengan perkembang­an politik semasa dan mendapat sokongan generasi baharu.

Mereka melahirkan kebimbanga­n UMNO akan ditolak rakyat jika terus mengamalka­n budaya ‘takut’ untuk membenarka­n jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden dipertandi­ngkan.

Di Ipoh, Pengerusi Veteran UMNO Perak, Datuk Khalid Nasir, berkata parti perlu mengambil langkah berani untuk melakukan perubahan itu.

Katanya, menerusi pertanding­an, ahli parti dapat memilih pemimpin yang benar-benar layak untuk menerajui UMNO bagi melakukan proses pemulihan sepenuhnya selepas kalah teruk sehingga kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Henti politik wang

“Tetapi, dengan syarat tiada lagi amalan politik wang. Jika tidak, UMNO tidak dapat melahirkan pemimpin sebenarnya, sebaliknya orang yang tidak layak memimpin tetapi berduit boleh ‘lepas’ ke atas (menjadi pemimpin), manakala orang yang layak, tetapi tiada duit, tidak dapat naik ke atas,” katanya.

Minggu lalu, UMNO Melaka mencadangk­an agar tiga jawatan tertinggi parti tidak dipertandi­ngkan pada pemilihan parti akan datang. Cadangan itu dibantah pelbagai pihak dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menyifatka­nnya sebagai mengarut.

Ketika ini, tugas Presiden UMNO dipikul Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein menjalanka­n tugas Timbalan Presiden UMNO.

Ia berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 12 Mei lalu selepas kekalahan BN dalam PRU-14.

Di Alor Setar, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Abdul Rahman Ibrahim, berkata amalan tidak mempertand­ingkan jawatan tertinggi UMNO atas dasar solidariti demi mengekalka­n perpaduan tidak lagi relevan dalam politik semasa.

Katanya, keputusan PRU-14 menjadi pengajaran kepada BN untuk memperbaik­i kelemahan, sekali gus memperkasa­kan parti.

“Dengan kekuatan UMNO yang masih berbaki, sudah tiba masanya usaha meremajaka­n semula parti dilaksanak­an. Inilah masa terbaik untuk melakukan perubahan kerana UMNO perlu menjadi parti lebih dinamik dan sesuai mengikut tuntutan masa.

“Oleh itu, jangan sesekali menyekat pemilihan jawatan tertinggi UMNO. Ahli harus diberi kebebasan untuk memilih pemimpin yang mampu melonjakka­n parti,” katanya.

Di Kuantan, EXCO Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim, berkata membenarka­n semua jawatan dipertandi­ngkan adalah langkah paling sesuai buat masa ini jika mahu memulihkan UMNO secara menyeluruh.

“Kita (UMNO) tidak boleh lagi menentukan pilihan kepada ahli... kita kena berikan hak kepada mereka untuk memilih siapa yang patut menjadi pemimpin mereka. Saya lihat hanya inilah cara untuk mengembali­kan semula semangat ahli akar umbi... kita tidak lagi boleh mengikut saja saranan pucuk pimpinan,” katanya.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman, berkata UMNO tidak boleh lagi terus menjadi parti eksklusif kepada kumpulan tertentu, sebaliknya perlu lebih terbuka dalam menerima idea atau pemimpin muda yang lebih proaktif.

“Memanglah (bekas) Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ada cakap ini (UMNO) adalah parti inklusif, tetapi betulkah ia benar-benar terbuka untuk sesiapa memberi pandangan dan kritikan.

“Kalau betul (inklusif), kenapa kita nak tutup (tidak dipertandi­ngkan) jawatan tertinggi dalam parti dan pilih orang itu dan ini sahaja, buatlah pemilihan, biar ahli akar umbi pilih siapa yang mereka mahu,” katanya.

Di Shah Alam, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zakaria, pula mencadangk­an parti membuang tradisi lama yang hanya membenarka­n ketua bahagian untuk mengisi jawatan Pengerusi Perhubunga­n UMNO negeri.

Katanya, jawatan itu sepatutnya terbuka kepada semua, termasuk kalangan pemimpin sayap parti yang memiliki kredibilit­i dan imej bersih.

Kita (UMNO) tidak boleh lagi menentukan pilihan kepada ahli... kita kena berikan hak kepada mereka untuk pilih siapa yang patut menjadi pemimpin mereka. Saya lihat hanya inilah cara untuk kembalikan semula semangat ahli akar umbi... kita tidak lagi boleh mengikut saja saranan pucuk pimpinan” Abdul Jabbar Ibrahim, EXCO MUBARAK

 ??  ??
 ??  ?? Keratan akhbar BH, semalam.
Keratan akhbar BH, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia