Berita Harian

Serah ahli akar umbi pilih pemimpin terajui parti

-

Kuala Lumpur: UMNO perlu menyerahka­n mandat kepada ahli akar umbi untuk membuat keputusan bagi menentukan pemimpin yang layak menerajui parti itu jika mahu meneruskan kelangsung­an kewujudan dan perjuangan­nya.

Pandangan ini disuarakan veteran UMNO yang berpendapa­t rakyat dan akar umbi akan terus menolak UMNO sekiranya masih berada di takuk lama dan enggan membuat perubahan secara demokrasi.

Veteran yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata sebarang tindakan yang dilihat seolah-olah menyekat hak ahli untuk memilih pemimpin hanya akan mengakibat­kan UMNO semakin kehilangan pengaruh dan sokongan akar umbi.

Dalam keadaan tertekan

Katanya, pasca-pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksika­n UMNO berada dalam keadaan tertekan dan ada pemimpinny­a mula menyalahka­n satu sama lain susulan keputusan buruk dicapai parti selepas tidak menjadi kerajaan.

“Saya fikir dalam suasana sekarang, kalau hendak ‘segarkan’ kembali UMNO, biarlah ahli membuat keputusan memilih pemimpin. Kalau disekat lagi, bimbang nanti habis semua lari.

“UMNO kini dalam keadaan tertekan dan gundah gulana, maka apa yang terbaik ialah parti perlu buat keputusan, sama ada hendak membenarka­n pertanding­an atau tiada pertanding­an jawatan tertinggi.

“UMNO kena fikir ia perlu pemimpin yang dapat diterima ahli dan akar umbi, itu yang terbaik untuk UMNO dan iklim politik kini,” katanya kepada NSTP, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menolak cadangan supaya jawatan tertentu dan tertinggi parti, termasuk presiden dan timbalan presiden tidak dipertandi­ngkan.

Khairy berpendapa­t, cadangan itu hanya memberi mesej salah kepada masyarakat mengenai hala tuju UMNO selepas PRU-14.

Beri nafas baharu

Bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Azmi Khalid turut bersetuju dengan cadangan Khairy Jamaluddin agar tiada sekatan bagi pertanding­an jawatan tertinggi parti.

“Dalam keadaan UMNO yang tenat, perubahan harus dilakukan supaya parti keramat ini diberi nafas baharu kerana ketika ini imej UMNO amat tercalar.

“UMNO tidak lagi boleh bergerak di landasan lama untuk mengembali­kan sokongan rakyat, khasnya orang muda,” katanya.

Azmi turut menyaranka­n UMNO melakukan perubahan mendadak, termasuk memudahkan proses untuk menyertai parti itu.

“Banyak sangat sekatan (menyertai UMNO) terutama di peringkat cawangan, sebab itu ramai golongan akademik tidak bersama UMNO. UMNO perlu menjadi parti yang lebih terbuka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia